Rossa Memikat, Hadiahkan Tribute Untuk Siti Nuhaliza

EntertainmentMusic
17 Jun 2025 • 8:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Malam minggu lalu, 8,000 peminat menjadi saksi kepada kejayaan Konsert Rossa Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

image is not available

Datuk Seri Rossa bukan sahaja membuai peminat dengan seleksi lagu popular beliau, malah dia turut menghadiahkan segmen ‘tribute to Siti Nurhaliza’ untuk teman baiknya di Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi segmen khas itu, Rossa menyanyikan empat buah popular Siti iaitu Gelora Asmara, Percayalah, Biarlah Rahsia dan Cinta Biasa. 

image is not available

Axiata Arena menjadi riuh dan gamat apabila Siti yang turut hadir sebagai penonton tiba-tiba menyambung bait-bait lirik ketika Rossa menyampaikan lagu Percayalah. 

Buat seketika Rossa kelihatan terkejut kerana beliau sedia maklum Siti mempunyai acara lain pada malam itu. 

Namun, demi seorang teman, nampaknya Siti yang ditemani oleh suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa bergegas ke konsert untuk berlagu bersama ribuan peminat Rossa yang lain.

image is not available

Satu lagi momen yang agak istimewa ialah apabila penyanyi berusia 47 tahun ini turut tampil berduet dengan Hael Husaini menyampaikan lagu raya popular Meriah Lain Macam. 

Menurut Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, beliau sangat menyukai lagu itu dan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyanyikannya bersama Hael di konsertnya.

“Saya tanya Hael boleh tak saya nak yanyikan lagu ini. Dia kata tak boleh sebab ini lagu raya. Tetapi saya kata kenapa kita tak boleh merayakan setiap hari. Saya sangat suka lagu ini dan mahu menyanyikannya,” ujar beliau berkongsi cerita.

image is not available

Sementara itu Hael pula tidak menafikan yang dia sebenarnya terkejut apabila Rossa meminta lagu raya untuk berduet, sedangkan dia mempunyai banyak lagi lagu lain yang popular. 

“Saya ada lagu Jampi, Haram, Hajat dan banyak lagi. Sekali Rossa cakap nak lagu ‘Sayang …’ (Intro lagu Meriah Lain Macam). Anda boleh bayangkan tak macam mana saya rasa. Tetapi tak mengapa, untuk konsert Datuk Rossa saya terima,” ujar Hael.

Bagaimanapun, lirik Meriah Lain Macam telah diubah penceritaannya, ia adalah tentang pasangan yang mahu ke konsert Rossa.

image is not available

Selain Hael, Rossa turut mengundang beberapa lagi artis tempatan iaitu Ernie Zakri, MK K-Clique, Mary Grace, Zazleen dan Kai Deva untuk memeriahkan konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu. 

Pendekatan Rossa ini sudah tentu membuatkan peminat-peminatnya di Malaysia semakin sayang dengan dirinya kerana tidak lokek untuk berkongsi pentas dengan nama-nama baru dalam industri.

image is not available

Tidak ketinggalan, Rossa turut menerbangkan vokalis popular Indonesia iaitu Ariel Noah dan kumpulan The Ladies yang dibarisi oleh alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.

Rossa naik ke pentas dengan enam persalinan menawan dan menyampaikan rangkaian lagu hits seperti Wanita Yang Kau Pilih, Hati Yang Kau Sakiti, Pudar, Atas Nama Cinta, Ayat-ayat Cinta dan Hey Ladies.

image is not available

Konsert Rossa Here I Am merupakan anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran Sah Entertainment. - Getaran, 17 Jun 2025