Rozman tak pernah isytihar bapa, adik pemegang saham LLPM: Saksi

18 Oct 2022 • 8:33 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Datuk Rozman Isli tidak pernah mengisytiharkan bapa serta adiknya sebagai pemegang saham Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) sepanjang sesi pembentangan untuk proses pemilihan operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengurus Keselamatan LLPM, Mohamad Kasli Sulaiman Darja, 56, berkata dua pembentangan itu berlangsung di Hotel Sentral Hilton di sini, pada 11 Dis 2017 dan di Hotel Le Meridien, Putrajaya, pada 12 Dis 2019.

Mohamad Kasli berkata bapa dan adik Rozman iaitu Isli Siput @ Ali serta Tony Noolan antara pemegang saham LLPM, namun mereka tidak pernah terlibat dalam urusan pentadbiran, operasi serta kewangan syarikat tersebut.

“Saya juga mengetahui Datuk Rozman merupakan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) dan memegang jawatan timbalan pengerusi. Saya mengetahui hal ini kerana ada beberapa kali berjumpa dengan beliau semasa menghadiri program anjuran syarikat LLPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes penyandang kerusi Parlimen Labuan itu yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Menceritakan mengenai sesi pembentangan di Hotel Sentral Hilton, Mohamad Kasli berkata beliau bersama pengurus korporat LLPM ketika itu, Mohamad Zaid Mohd Zain dan pengurus kanan LLPM, Azhar Othman, membentangkan cadangan teknikal dan ada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah LPL.

“Datuk Rozman, yang hadir sepanjang sesi pembentangan oleh LLPM itu tidak memaklumkan bahawa Isli dan Tony adalah bapa dan adiknya. Saya juga tidak mengetahui hasil keputusan daripada sesi pembentangan tersebut kerana tidak ada sebarang keputusan dimaklumkan kepada pihak kami,“ katanya.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh itu, berkata pihak LPL kemudian memaklumkan bahawa LLPM dibenarkan untuk meneruskan operasi terminal pelabuhan dan syarikat itu menandatangani perjanjian sewaan tanah dengan pihak LPL serta membayar sewaan pajakan tanah terminal pelabuhan tersebut secara bulanan kepada LPL pada November 2017 hingga Mac 2020.

Sementara itu, Mohamad Kasli berkata semasa sesi pembentangan di Hotel Le Meridien, LLPM tidak terpilih sebagai operator terminal pelabuhan itu dan perjanjian yang ditandatangani dengan LPL sebelum ini ditamatkan selain syarikat itu ada diberikan notis penamatan perjanjian sehingga 31 Mac 2020.

Katanya, LLPM merupakan syarikat yang menjalankan perniagaan pengurusan perkapalan serta pengangkutan dan menguruskan gudang kontena kargo di terminal pelabuhan tersebut sejak 1998 hingga 2020.

Kepada soalan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Rozman, saksi berkata Ahli Lembaga Pengarah LPL membenarkan LLPM untuk menyewa pajakan tanah terminal pelabuhan tersebut bagi mengendalikan operasi terminal itu sementara menunggu keputusan pemilihan operator diputuskan.

Terdahulu, saksi pendakwaan keenam, Pengurus Besar LLPM, Abd Gani Paijan, 71, berkata semasa sesi pembentangan di Hotel Sentral Hilton, pihak LPL ada memaklumkan yang LLPM dibenarkan untuk meneruskan operasi terminal itu.

“Apa yang saya tahu, LPL menangguhkan proses pelantikan operator terminal pelabuhan itu dan LLPM dibenarkan untuk meneruskan operasi,” katanya.

Abd Gani bersetuju dengan cadangan peguam bahawa LLPM gagal memperoleh tender sebagai operator terminal tersebut selepas dokumen sebut harga dikemukakan pada 2017 dan 2019.

Bagaimanapun, Abd Gani tidak pasti syarikat yang dilantik menjadi operator terminal pelabuhan itu adalah LP Multi Terminal Sdn Bhd dan saksi bersetuju dengan peguam bahawa dalam minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada 21 Mac 2018 tidak menyatakan pelantikan LLPM sebagai operator terminal berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 16 Nov ini. - Bernama

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) Datuk Rozman Isli (kedua, kiri) dengan

Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad Datuk Badlisham Ghazali (kanan) diapit oleh Pengarah Urusan Brunei Sydney Quays di Labuan pada Oct 11 - BERNAMAPIX