RPM 2026-2035 Perlu Pelaksanaan Menyeluruh, Libat Urus Semua Pihak - Nurul Izzah

LocalPolitics
22 Jan 2026 • 3:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 berpotensi mentransformasikan landskap pendidikan negara, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang tuntas serta penglibatan berterusan semua pihak berkepentingan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pelan pendidikan jangka panjang itu amat dinantikan masyarakat, khususnya warga didik dan ibu bapa yang mengharapkan sistem pendidikan lebih berkualiti, inklusif dan berdaya tahan untuk menghadapi cabaran semasa serta masa depan.

Menurut beliau, antara pembaharuan utama ialah pengenalan pendaftaran sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun, selari dengan amalan pendidikan global yang telah dilaksanakan di 143 negara.

Langkah tersebut katanya, membolehkan pendedahan awal kepada persekitaran pembelajaran berstruktur, sekali gus membantu intervensi awal perkembangan kanak-kanak dan persediaan untuk pembelajaran sepanjang hayat.

“Dasar itu juga berpotensi membantu ibu bapa bekerja yang berdepan kos penjagaan kanak-kanak yang semakin meningkat, seperti yang dikenal pasti dalam laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

Beliau memberi ingatan, pelaksanaan dasar berkenaan bagaimanapun perlu mengambil kira jurang prasarana dan tenaga pengajar antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak.

“Tanpa pendekatan bersasar mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan akan terus melebar,” katanya.

Menekankan kepentingan pendedahan awal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kebangsaan, Nurul Izzah berkata, ia penting bagi menarik minat murid sejak awal serta menangani jurang jantina dalam pendidikan.

“Statistik 2025 menunjukkan 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET, sekali gus membuktikan keperluan kesinambungan kurikulum berasaskan kemahiran hingga ke alam pekerjaan.

“Selain itu, keputusan meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal pendidikan pra-universiti mulai 2027, amat strategik bagi memastikan penempatan universiti awam yang lebih inklusif,” katanya. - Getaran, 22 Januari 2026