RPM gesa PERKESO perjelas mekanisme pelaksanaan Skim Lindung Kendiri

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RPM gesa PERKESO perjelas mekanisme pelaksanaan Skim Lindung Kendiri
Langkah itu bagi memastikan tiada pemandu e-hailing atau penghantar p-hailing tercicir daripada perlindungan sosial ketika berlaku kemalangan. Foto hiasan

MELAKA - Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) segera memperjelaskan mekanisme perlaksanaanSkim Lindung Kendiri di bawah Akta Pekerja Gig 2025.

Setiausaha RPM, Kamarulzaman Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pemandu e-hailing atau penghantar p-hailing tercicir daripada perlindungan sosial ketika berlaku kemalangan.

Menurutnya, ia susulan kenyataan PERKESO pada Rabu mengenai tujuh daripada 14 penyedia platform perkhidmatan gig masih belum melaksanakan proses pendaftaran maklumat pekerja dan caruman automatik berkadar 1.25 peratus mencetuskan pelbagai persoalan.

Kata beliau, persoalan berkenaan memerlukan jawapan PERKESO terutama dalam kelemahan penyampaian maklumat seperti yang berlaku pada 2025 apabila penamatan subsidi 70 peratus yang menimbulkan kekeliruan kepada pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing dilaksanakan secara senyap-senyap.

"Insiden kemalangan pada 2025 yang melibatkan dua penghantar p-hailing di Melaka perlu dijadikan pengajaran serius supaya penyampaian maklumat berkaitan Skim Lindung Kendiri diperbaiki secara menyeluruh dan tidak menggunakan konsep ditanya baharu jawab.

"Dalam kejadian itu, kedua-dua penghantar tidak dilindungi mana-mana skim kerana mereka menghentikan caruman selepas mendapati jumlah caruman melonjak berkali ganda secara tiba-tiba tanpa sebarang pengumuman.

"Ketika itu, caruman yang lazimnya dibayar pada kadar RM70 melonjak kepada RM232.80 tanpa sebarang pengumuman. PERKESO hanya membuat kenyataan selepas didesak mengenai perbezaan jumlah caruman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, Kamarulzaman menegaskan, antara persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah mengenai status perlindungan pekerja gig separuh masa yang tidak bekerja setiap hari.

Ujarnya, ramai penghantar p-hailing bimbang sama ada perlindungan PERKESO masih aktif sekiranya mereka tidak menerima tempahan selama beberapa hari selepas caruman dipotong secara automatik.

“Sebagai contoh, seorang penghantar kali terakhir bekerja pada Ahad dan caruman sudah dipotong. Namun dia tidak bekerja sehingga Jumaat dan pada Sabtu ketika mahu memulakan tugas semula, dia terlibat kemalangan sebelum menerima tempahan baharu.

“Persoalannya, adakah dia masih dilindungi PERKESO ketika itu? Berapa lama atau garis masa sebenar tempoh aktif caruman tersebut selepas potongan dibuat?” soalnya.

Beliau berkata, RPM turut meminta penjelasan mengenai status penghantar makanan yang baharu berdaftar tetapi mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pertama sebelum menerima sebarang bayaran.

Katanya, perkara itu penting kerana majoriti pekerja gig bekerja secara fleksibel dan tidak mempunyai jadual tetap seperti pekerja formal.

Selain itu, Kamarulzaman memberitahu, RPM juga mahu PERKESO menjelaskan sama ada platform perkhidmatan gig akan menyediakan paparan jelas dalam aplikasi berkaitan jumlah caruman terkumpul dan status perlindungan semasa pekerja.

“Kami juga mahu tahu bagaimana status perlindungan pekerja gig pada tahun berikutnya jika jumlah caruman tahunan mereka tidak cukup RM232.80.

“Adakah perlindungan diteruskan secara automatik atau mereka perlu mencukupkan bayaran terlebih dahulu sebelum perlindungan diaktifkan semula?” soalnya lagi.

Berikutan itu, Kamarulzaman berkata, PERKESO perlu memperincikan mekanisme pemantauan, penguatkuasaan dan komunikasi yang akan digunakan dalam pelaksanaan skim tersebut.

“RPM tidak mahu Skim Lindung Kendiri menjadi dasar yang baik di atas kertas tetapi gagal melindungi pekerja gig apabila berlaku kemalangan, kehilangan upaya atau kematian ketika bekerja.

"Kami bersedia bekerjasama dengan PERKESO dan syarikat platform dam agensi berkaitan bagi membantu menyampaikan maklumat serta memastikan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing memahami kepentingan mencarum di bawah Skim Lindung Kendiri," ujar beliau.

 

 

View Original Article