RS-1: Warga emas nikmati kehidupan bermaruah

LocalHealth & Fitness
24 Jul 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RS-1: Warga emas nikmati kehidupan bermaruah

SHAH ALAM, 24 JUL: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memberi penekanan kepada konsep penuaan aktif yang memberi tumpuan kepada kualiti hidup warga emas, bukan semata-mata pemberian bantuan.

Usaha itu meliputi rancangan menambah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), pekerjaan munasabah kepada warga emas (silver workforce) dan mewujudkan penyelaras penjagaan (care navigator).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memberitahu langkah tersebut diyakini membantu kelompok warga emas untuk menikmati kehidupan sihat dan bermaruah.

Image from: RS-1: Warga emas nikmati kehidupan bermaruah
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Kita hendak angkat (sektor) penjagaan ini sebagai ekosistem, bukan sekadar kebajikan sebaliknya berusaha meningkatkan kualiti kehidupan mereka," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan RS-1 juga mahu memperkenal konsep tenaga kerja munasabah untuk warga emas bagi warga emas yang masih sihat dan berkemampuan.

"Antara yang kita lihat ialah silver workforce, bagaimana warga emas yang masih sihat boleh terus bekerja dalam bidang sesuai seperti kemahiran atau kerja separuh masa," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Selangor sedang meneliti jenis pekerjaan sesuai bagi memastikan warga emas dapat menjana pendapatan tanpa tekanan fizikal berlebihan.

Image from: RS-1: Warga emas nikmati kehidupan bermaruah
Petanque, boling dan dart dipertandingkan bagi menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti sukan. Gambar hiasan AI

"Kita akan fikirkan pekerjaan yang sesuai, mungkin bukan bidang pekerjaan lama mereka tetapi kemahiran baharu yang boleh mereka lakukan dengan selesa," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga merancang menambah PAWE di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan akses lebih dekat kepada masyarakat.

"Sekarang PAWE yang ada diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan tetapi tahun ini kita cadang membangunkan garis panduan PAWE yang dimiliki PBT.

"Ada satu di Majlis Perbandaran Selayang tetapi kita lihat keperluan untuk luaskan lagi supaya setiap PBT ada PAWE masing-masing. Namanya mungkin bukan PAWE, kita akan teliti nanti," katanya.

Beliau juga menjelaskan pusat tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada faktor kesihatan tetapi juga interaksi sosial bagi mengelakkan warga emas dari terasing atau kesunyian.

"Kita hendak warga emas datang bukan hanya untuk penjagaan kesihatan tetapi berinteraksi dengan rakan sebaya supaya mereka lebih aktif dan tidak terasing di rumah," katanya.

Katanya, Selangor juga mahu mewujudkan penyelaras penjagaan (care navigator) bagi mengenal pasti dan membantu warga emas yang tinggal bersendirian atau memerlukan bantuan sosial.

"Care navigator ini kita hendak mereka turun padang, buat pemantauan atau saringan untuk warga emas yang tinggal sendirian supaya bantuan sampai dengan lebih cepat," katanya.

Menurut Anfaal, RS-1 memberi perhatian kepada kesiapsiagaan warga emas bagi mengelak isu pengasingan sosial dalam kalangan warga emas yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved