RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  

SHAH ALAM, 25 OGOS: Persatuan Pengilang Makanan Malaysia (PPMM) mencadangkan satu pasukan khas pelaburan dapat diwujudkan bagi menyelaras pelaburan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2). 

Presiden PPMM Ding Hong Sing berkata, sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri dalam RS-2 bagi menarik pelaburan bernilai RM330 bilion mampu memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju industri dan ekonomi negara, tetapi ia perlu disokong oleh sistem pentadbiran lebih menyeluruh dan memudahkan pelabur. 

"Untuk menarik pelaburan asing, dasar kerajaan dan kelajuan proses kelulusan amat penting. Saya berharap satu pasukan khas pelaburan dapat ditubuhkan bagi menyelaras permohonan daripada pelbagai jabatan kerajaan," katanya dalam temu bual dengan Media Selangor.

Jelasnya lagi, walaupun Selangor sudah mempunyai tarikan besar kepada pelabur disebabkan pelabuhan dan infrastruktur lengkap, hala tuju ekonomi yang jelas serta memudahkan proses pentadbiran dan pengurusan pelaburan sangat diperlukan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.  

Image from: RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  
EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato' Hasan Azhari Idris melawat reruai selepas merasmikan Forum Aeroangkasa Selangor di Maeps, Serdang pada 26 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

SOP seragam bantu persekitaran perniagaan

Menurut Hong Sing, pada masa kini, syarikat yang ingin melabur perlu berurusan dengan banyak jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Pusat seperti pengurusan tanah, lesen dan kelulusan lain, yang menimbulkan risiko pelabur lari ke tempat lain disebabkan faktor kerumitan proses dan masa. 

"Sekiranya perkhidmatan satu henti disediakan, pelabur dapat mengetahui dengan jelas tempoh masa yang diperlukan dan prosedur yang perlu dilalui, termasuk permohonan tanah, lesen dan kelulusan kerajaan pusat, serta prosedur operasi standard (SOP) yang seragam," katanya.

Beliau berkata, proses kelulusan yang panjang di sesetengah jabatan kerajaan serta sikap "Napoleon kecil" boleh menjejaskan persepsi pelabur terhadap persekitaran perniagaan di Malaysia, justeru koordinasi yang lebih erat antara Kerajaan Pusat dan Negeri amat diperlukan.

Image from: RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan dokumen RS-2 selepas pembentangan RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini. Foto Khairul Helmy/ MEDIA SELANGOR

Tambahnya, Selangor mempunyai kelebihan tersendiri termasuk kemudahan pelabuhan dan sistem perindustrian yang matang, dan perlu memanfaatkan kelebihan ini untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Pada masa sama, negeri ini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada industri tradisional tetapi perlu membangunkan industri baharu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Dengan adanya industri dan peluang pekerjaan, bakat akan kekal di sini. Kita tidak boleh terus bergantung kepada industri tradisional sahaja, tetapi perlu melihat hala tuju industri masa hadapan," katanya.

Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari membentangkan RS-2 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu, yang menyasarkan lima industri teras iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif sebagai enjin ekonomi utama menjelang 2030.

Image from: RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama peserta bengkel strategik bilangan 2 Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 14 April 2025. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR

Menurutnya, sasaran kadar pertumbuhan Selangor adalah 6.1 peratus, dengan sasaran pelaburan keseluruhan RM330 bilion dan kadar pengangguran dikurangkan kepada 2.2 peratus menjelang 2030.

Selepas perbahasan melibatkan 40 wakil rakyat daripada kedua-dua blok, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan RS-2 sebulat suara pada 13 Ogos lalu, menjadikannya dokumen dasar pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 serta menjadi rujukan bagi menentukan hala tuju pembangunan negeri.

Sementara itu, kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah melaksanakan sepenuhnya garis panduan kelulusan "SPEED Selangor" mulai Oktober tahun lepas bagi memendekkan tempoh kelulusan permohonan pelabur dan mengurangkan kos perniagaan.

SPEED Selangor merupakan dasar baharu yang bertujuan memendekkan tempoh kelulusan permohonan pelabur bagi membolehkan mereka memulakan pembinaan dengan lebih cepat.

Image from: RS-2: Persatuan cadang pasukan khas ditubuh, mudahkan urusan pelabur  
Orang ramai hadir ke Local Business Connect@Hulu Selangor untuk mengambil peluang pekerjaan yang di tawar di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Di bawah dasar ini, permohonan untuk membina kilang baharu, gudang, hospital, sekolah dan kemudahan lain akan melalui proses konsultasi awal tidak melebihi 21 hari. Selepas konsultasi awal, pelabur boleh mengemukakan permohonan rasmi, manakala kelulusan bagi pelan kawalan (KM), pelan bangunan, pelan jalan dan saliran akan diproses dalam tempoh tidak melebihi 9 hari.

Ini bermakna, kelulusan yang sebelum ini mengambil masa enam bulan kini dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari, membolehkan pelabur memulakan projek pembinaan dengan lebih segera.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved