Ruang udara Jakarta ditutup, penerbangan Nora Danish dibatalkan

6 Sep 2026 • 12:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ruang udara Jakarta ditutup, penerbangan Nora Danish dibatalkan

PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish menjadi antara ribuan penumpang yang berdepan detik cemas apabila penerbangannya ke Jakarta, Indonesia terpaksa dibatalkan susulan  letusan Gunung Anak Krakatau, hari ini.

Nora atau Nora Mohd. Danish Hanif, 44, berkongsi pengalaman tersebut menerusi satu hantaran di media sosial miliknya selepas memaklumkan dia sepatutnya berlepas ke ibu kota Indonesia itu pada pukul 11.45 pagi tadi.

Menurut pelakon filem Polis Evo itu, dia pada mulanya tertanya-tanya mengenai status keselamatannya untuk terbang selepas mendapat perkhabaran mengenai letusan gunung berapi tersebut sebelum mengesahkan sendiri perkara itu setibanya di lapangan terbang.

“Saya sepatutnya terbang ke Jakarta pada pukul 11.45 pagi ini, tetapi saya mendengar berita mengenai letusan Krakatau. Boleh sesiapa bantu saya semak sama ada selamat untuk saya ke sana?

“Saya sudah berada di lapangan terbang tadi dan ya, semua penerbangan ke Jakarta telah dibatalkan. Kami dimaklumkan bahawa Lapangan Terbang Jakarta (Soekarno-Hatta) kini ditutup buat sementara waktu,” katanya.

Dalam pada itu, Nora turut sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai dan para pelancong yang mempunyai perancangan ke negara jiran itu agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa.

Kongsinya, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi mengelakkan mereka terkandas di lapangan terbang.

“Sila semak status penerbangan anda terlebih dahulu sebelum menuju ke lapangan terbang ya semua!” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan aktiviti vulkanik Gunung Anak Krakatau kembali meningkat sehingga memaksa pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran keselamatan ruang udara.

Penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dilakukan bagi menjamin keselamatan penumpang ekoran debu sisa letusan yang boleh menjejaskan enjin pesawat dan penglihatan juruterbang.

Sehingga kini, belum ada pengumuman rasmi mengenai tempoh penutupan tersebut dan para penumpang dinasihatkan untuk terus memantau maklumat terkini daripada pihak berkuasa lapangan terbang. -UTUSAN

The post Ruang udara Jakarta ditutup, penerbangan Nora Danish dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved