Rugi berbilion masih kata tiada apa-apa? Tak boleh! Hentikan budaya selesa – PM Anwar

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 9:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Semua pihak tidak boleh terperangkap dalam budaya selesa atau culture of contentment dengan berpuas hati terhadap pencapaian sedia ada sehingga membiarkan kelemahan, kerosakan dan kemunduran berterusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu terus dipacu dengan lebih kuat dan pantas bagi memastikan kemajuan negara sentiasa mendahului perubahan zaman.

“Malaysia mesti berhasil. Malaysia mesti berjaya. Dan kita mampu berjaya.
“Syaratnya adalah, mana negara yang boleh terangkat martabat dan harakat dan darjatnya dengan keadaan mengekalkan situasi yang lama, lembab dan penuh dengan kebobrokan sistem, kemalasan? Tidak mungkin,” katanya.

Image from: Rugi berbilion masih kata tiada apa-apa? Tak boleh! Hentikan budaya selesa – PM Anwar

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran sambutan Ulang Tahun ke-80 di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Anwar berkata, budaya selesa dengan pencapaian semasa boleh menyebabkan sesebuah negara, agensi atau syarikat menjadi lemah dan hambar sekiranya tiada tekad untuk terus melakukan pembaharuan.

“Kadang-kadang kalau ada agensi atau syarikat rugi RM10 bilion, RM12 bilion, tapi kita masih kata, ‘Okay, tak ada apa-apa, biasa.’ Biasa apa biasa? Tak boleh.
“Ini budaya yang akan menyebabkan kita bukan selesa rugi. Disebabkan itu harus ada tekad,” katanya.

Image from: Rugi berbilion masih kata tiada apa-apa? Tak boleh! Hentikan budaya selesa – PM Anwar

Menurut beliau, perkembangan teknologi yang semakin pantas menuntut Malaysia bergerak seiring dengan perubahan, termasuk dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum.

Katanya, beliau berbangga apabila Telekom Malaysia (TM) dan MMU antara pihak yang pantas menyambut agenda transformasi digital negara sejak beberapa tahun lalu.

Anwar berkata, TM dan MMU turut menunjukkan kesediaan menyambut perkembangan baharu dalam bidang multimedia dan AI, sekali gus membuktikan kepentingan institusi serta syarikat tempatan untuk terus berada di hadapan dalam tuntutan zaman.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada aspek keterangkuman (inclusivity), malah memastikan negara mempunyai budaya mengejar kecemerlangan (striving for excellence) dalam semua bidang.

Image from: Rugi berbilion masih kata tiada apa-apa? Tak boleh! Hentikan budaya selesa – PM Anwar

Artikel lain: FELDA rugi hampir RM10 bilion? PM Anwar cadangan audit forensik dibawa ke Kabinet

Dalam pada itu, Anwar berkata, penswastaan syarikat atau jabatan kerajaan tidak seharusnya hanya berorientasikan keuntungan dan kecekapan sehingga mengetepikan kebajikan golongan pekerja.

Katanya, model penswastaan di Malaysia perlu memberi manfaat yang lebih menyeluruh, termasuk memastikan pekerja menikmati pulangan daripada peningkatan keuntungan syarikat.

“Penswastaan tidak boleh hanya sekadar membolot kekayaan, memperbaiki kedudukan golongan atasan dan meminggirkan golongan pekerja,” katanya.

Menurut beliau, ketika proses penswastaan Jabatan Telekom pada era 1990-an, kerajaan memberi penekanan bukan sahaja kepada kecekapan dan keuntungan, tetapi turut mengambil kira kebajikan pekerja.

Katanya, perkara itu termasuk soal gaji dan upah yang lebih lumayan, penyediaan perumahan lebih baik serta kebajikan dan pendidikan anak-anak pekerja.

Sumber: Utusan Online (Maisarah Sheikh Rahim)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved