
KUANTAN – Seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan elektrikal berputih mata apabila syarikatnya mengalami kerugian sebanyak RM377, 000 selepas terperdaya dengan tawaran tender palsu yang tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian bermula 22 Julai lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berusia 49 tahun dihubungi individu yang menawarkan tender pembekalan papan litar elektrik.
“Mangsa telah diyakinkan bahawa syarikatnya berjaya memperoleh tender berkenaan dan dikehendaki membuat bayaran sebagai syarat untuk mendapatkan tender.
“Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat satu transaksi berjumlah RM377,000 daripada akaun Bank Islam milik syarikat ke akaun CIMB Bank atas nama sebuah syarikat,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi pihak yang menawarkan tender tersebut dan mendapati urusan tender yang dijanjikan sebenarnya tidak wujud.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 bagi tindakan segera sebelum laporan maklumat pertama dibuat.
Katanya, akibat kejadian tersebut, pengurus terbabit mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM377,000 yang melibatkan wang milik syarikat.
Dalam pada itu beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai, khususnya syarikat dan usahawan, supaya membuat semakan terperinci terhadap mana-mana tawaran tender sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Jangan mudah mempercayai tawaran yang diterima melalui panggilan telefon, aplikasi pesanan atau media sosial tanpa pengesahan daripada agensi atau syarikat yang sah.
“Selain itu, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Rugi RM377,000, pengurus syarikat terperdaya tawaran tender palsu appeared first on Kosmo Digital.


