
HANYA dengan satu hantaran luahan hati seorang kru di Threads yang bekerja lebih masa, isu ini kembali diperkata dan dibincangkan.
Namun kali ini lebih serius apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengadakan sebuah sesi dialog bersama wakil daripada sembilan persatuan dan badan terlibat bagi mencari jalan keluar kepada isu membabitkan jam kerja pekerja industri kreatif.
Isu kru dilenjan oleh syarikat produksi selamanya akan berjaring angin sekiranya tiada garis panduan khusus ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Mengambil kira perkara ini, Finas menjadikan Filipina sebagai contoh yang mempunyai undang-undang jelas menerusi Akta Eddie Garcia (Republic Act No. 11996) membabitkan waktu kerja kru industri kreatif.
Akta tersebut dikuatkuasakan di Filipina pada 24 Mei 2024 selepas pelakon veteran Filipina, Eddie Garcia, meninggal dunia pada Jun 2019 akibat kecederaan di set penggambaran.
Menerusi akta tersebut, Filipina sudah mempunyai panduan membabitkan had masa bekerja, kontrak wajib, gaji, perlindungan dan persekitaran selamat.
Dalam konteks jam kerja, Filipina mengehadkan tempoh bekerja kepada 8 jam sehari namun boleh dilanjutkan maksimum 14 jam, dan tidak melebihi 60 jam seminggu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, pihaknya turut mengambil kira pengalaman daripada negara lain untuk menyesuaikan pelaksanaannya dengan industri tempatan.
“Kita akan menjadikan peraturan yang dilaksanakan di Filipina itu sebagai antara rujukan dalam merangka garis panduan berkaitan tempoh waktu kerja industri kreatif di negara ini.
“Tahun lalu Finas mengadakan mesyuarat bersama agensi perfileman negara-negara ASEAN dan semua yang hadir bersetuju bahawa satu garis panduan seumpama itu perlu diwujudkan bagi melindungi kebajikan pekerja tanpa mengabaikan kepentingan majikan.
“Mesyuarat itu turut disertai wakil dari Korea Selatan dan Jepun yang berkongsi pengalaman serta menyatakan kesediaan membantu Malaysia merangka garis panduan berdasarkan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara Finas Damansara, baru-baru ini.
Turut hadir di sesi tersebut ialah wakil daripada Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Creative Content Association Malaysia (CCAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Post Production, Animation & Creative Content Association Malaysia (POSTAM) dan Post Production Professionals Association (MyPOST).

Dalam pada itu, Azmir berkongsi bahawa setakat ini Finas hanya menerima lapan aduan rasmi pada tahun ini membabitkan pelbagai perkara.
Walaupun tidak banyak yang berani tampil ke hadapan untuk melakukan salah laku, namun dia percaya bahawa isu-isu ini memang terjadi di lapangan.
Oleh itu, Azmir menggesa untuk penggiat seni melaporkan aduan kepada persatuan dan isu itu akan dibincangkan tanpa mendedahkan identiti pengadu.
“Aduan rasmi memang kurang, tetapi kita tahu perkara itu banyak berlaku di lapangan. Ramai pekerja enggan buat aduan rasmi kerana takut terjejas tawaran kerja daripada penerbit pada masa hadapan.
“Oleh itu, persatuan patut ambil peranan bersuara bagi pihak ahli mereka. Nama pengadunya boleh dirahsiakan oleh persatuan, sebaliknya persatuan yang tampil mengetengahkan isu berkenaan kepada Finas,” katanya.
Kalau kru mati siapa mahu bertanggungjawab?
Menyentuh mengenai isu had waktu bekerja 12 jam yang hangat dibincangkan, pengarah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profirma), Khalil Salleh menegaskan bahawa ia bukan sekadar soal keselesaan, tetapi melibatkan isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
Tegasnya, amalan bekerja sehingga 15 jam atau lebih tanpa sistem yang jelas sangat berisiko tinggi dan boleh membawa kepada kemalangan maut di set penggambaran.
“Kalau kru saya mati disebabkan bekerja 15 jam dan perkara ini dikaitkan dengan pencabulan akta, siapa yang mahu bertanggungjawab? Kita sudah meratifikasi standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jadi kita wajib ikut.
“Sebab itu Profirma memohon supaya had 12 jam ini dikira bermula dari ‘call time’ di lokasi. Kita mahu pengarah dan penerbit lebih profesional, ikut jadual dan storyboard supaya tiada pembaziran masa,” jelasnya.
Bagi memastikan tuntutan ini bukan sekadar cakap kosong, Khalil memaklumkan Profirma telah menjalankan kajian terperinci melalui ‘Laporan Kajian Amalan Waktu Bekerja’ membabitkan lebih 300 responden.
“Berdasarkan kajian ini majoriti pekerja filem kita ada 10 tahun pengalaman ke atas. Maksudnya generasi muda sekarang cara bekerja sangat berbeza. Kalau kita tiada sistem yang berubah, saya takut generasi akan datang ada masalah.
“Laporan ini akan saya berikan kepada pihak akademik Skim PA di UiTM untuk diselesaikan dari sudut pandangan akademik. Kemudian barulah kita akan berikan kepada Finas dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk kemas kini.
“Kita mahu perbetulkan sistem. Luar negara sudah lama buat, kenapa Malaysia tidak boleh? Kita tidak mahu bergaduh, tetapi kita mahu satu sistem yang adil untuk semua penggiat seni. Kalau tidak percaya, boleh panggil kru antarabangsa tengok bagaimana jam kerja mereka,” katanya.
The post Rujuk Filipina rangka jam kerja penggiat seni appeared first on Utusan Malaysia.
