PUTRAJAYA – PAS tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO kerana disifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diibaratkan seperti perlindungan yang rosak dan tidak mampu melindungi pihak yang berada di bawahnya.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Rumah Bangsa bagaikan berada di bawah payung buruk yang sudah mengalami banyak kerosakan sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan lebat.
Dalam kenyataannya pada Khamis, beliau mendakwa, kain peneduh Rumah Bangsa sudah tiada dan masih terdapat besi-besi tajam yang boleh membahayakan.
“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi rumah tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” katanya.
Beliau berkata, Pas sebelum ini menghantar pemerhati ke satu pertemuan berkaitan inisiatif berkenaan bagi melihat sendiri pihak yang terlibat selepas menerima jemputan daripada penganjur.
Namun menurut Abdul Hadi, pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menghimpunkan perpaduan Melayu berasaskan semangat kebangsaan semata-mata tanpa menjadikan Islam sebagai teras.
"Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP (dalam pertemuan), namun Pas dapat membaca segala yang tersirat," katanya.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai hubungan politik UMNO dengan parti lain yang menurutnya menimbulkan keraguan terhadap prinsip asal perjuangan parti tersebut.
“Hal ini demikian kerana tetap bersahabat dan berwala’ kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan walaupun terpaksa meninggalkan prinsip asal perjuangannya.
“Dalam kalangan pemimpin UMNO, ada yang berpegang dengan kepercayaan Melayu sebelum kepercayaan terhadap Islam, yang memestikan mereka bersahabat dengan semua pihak tanpa pilihan demi kemenangan untuk mendapatkan kuasa dan harta,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan kerjasama politik dibina tanpa batasan sehingga sanggup bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“Walaupun terpaksa berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk segala jenis hantu, termasuk hantu raya yang paling besar serta pelbagai hantu yang bijak berkosmetik Islam,” katanya.
Beliau juga mendakwa, pendekatan tersebut turut disertai dengan pelbagai amalan yang menurutnya tidak selari dengan prinsip agama.
“Selain itu, mereka turut dijamukan dengan pesta pemujaan yang dianggap boleh membantu bagi meneruskan kehidupan dan meluaskan rezeki.
"Jamuan tersebut disertai oleh lebai-lebai yang jahil dan kuat beribadat supaya menjadi tukang sembelih yang diharamkan dagingnya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Pas dan ahlinya tidak terpengaruh dengan pendekatan tersebut yang menurutnya telah lama digunakan dalam persaingan politik.
“Pas beristiqamah tidak terpengaruh dengan umpan dan tipu daya syaitan serta sekutunya, yang selama ini menjadi senjata lapuk dalam kalangan UMNO yang jahil. Diteruskan pula apabila UMNO bersahabat karib dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Menurutnya lagi, pendekatan itu juga gagal mempertahankan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
“Senjata lapuk tersebut telah gagal mempertahankan kerusi dalam PRU-15, sehingga terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan minoriti yang bergantung kepada sokongan hantu (pihak tertentu) dari dalam negeri dan luar negara,” katanya.
Beliau turut mendakwa, pendekatan itu hanya mampu menarik sokongan pengundi tertentu sahaja.
“Pendekatan tersebut hanya boleh menggoda dan menarik pengundi warga tua di saluran satu bersama sokongan kalangan bukan Islam,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, pengundi muda semakin menolak gabungan parti yang menurutnya bekerjasama dengan pihak yang dianggap musuh politik Pas.
“Adapun pengundi muda yang mula bijak berfikir secara lebih matang, mereka telah menolak PH sejak PRU-15 sebagaimana mereka menolak BN sebelumnya,” katanya.
