Rumah Erysha Emyra kena pecah masuk, duit raya… barang kemas lesap

LocalEntertainment
19 Mar 2026 • 7:03 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pelakon muda Erysha Emyra mendedahkan kediamannya dipecah masuk perompak ketika dia keluar berbuka puasa bersama keluarga, semalam.

Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, berkata kejadian itu hanya disedari selepas menerima panggilan daripada adik-adiknya yang berada di rumah dalam keadaan panik dan ketakutan.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa, namun adik-adik telefon dalam keadaan menangis.

“Beberapa barangan hilang termasuk wang tunai dan barang kemas. Memandangkan kami bakal pulang ke kampung, sudah tentu ada wang tunai untuk persiapan hari raya, tetapi semuanya hilang,” katanya ketika ditemu bual di stesen radio ERA FM.

Menurut anak kepada dramatis terkenal Noniswara itu, penjenayah dipercayai bertindak agresif apabila mengopak laci berkunci menggunakan senjata tajam untuk mendapatkan barangan berharga.

Tambahnya, duit raya yang disimpan di tempat selamat turut berjaya ditemui dan dilarikan oleh perompak terbabit.

Bagaimanapun, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu memaklumkan laporan polis telah dibuat dan kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“Sudah tentu kami sedih, namun bersyukur semua selamat. Kejadian ini menjadi peringatan agar lebih berwaspada pada masa hadapan,” ujarnya.

“Selama bertahun-tahun tinggal di situ, tidak pernah berlaku perkara seperti ini. Ini menjadi pengajaran terbesar untuk kami agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Erysha mengakui terdapat sedikit kecuaian dari segi keselamatan apabila pintu di bahagian atas rumah tidak dikunci, sekali gus membuka ruang kepada penjenayah. – MYBERITA