
PASIR MAS, 27 Sept (Bernama) — Pemilik enam rumah yang hanyut akibat banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, merayu supaya kerajaan menyegerakan pembinaan kediaman ganti kepada mereka.
Pada 1 Mac lepas, Bernama melaporkan enam rumah hanyut dibawa arus deras banjir semasa pemiliknya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
Pemilik rumah, Che Hasniza Che Omar, 45, berkata jangkaan banjir besar yang bakal melanda negeri ini pada musim Monsun Timur Laut November ini mendatangkan trauma dan membimbangkan mereka.
“Kawasan ini berlembah dan berisiko banjir, setelah berpengalaman rumah dihanyutkan pada Mac lepas, keadaan itu menyebabkan kami trauma.
“Kami sekeluarga tidak dapat tidur dengan lena sejak beberapa minggu lepas sebaik sahaja masuk bulan tengkujuh, malah paling merisaukan apabila rumah yang hanyut belum berganti baharu,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini hari ini.
Che Hasniza berkata pada masa ini dia dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah mentua, Kamariah Latif, 70, yang terletak bersebelahan di tapak asal menjadikan rumah itu kini didiami oleh 10 penghuni.
“Pada dua minggu lepas pihak berkenaan meminta kami supaya membersihkan kawasan tapak rumah baharu yang akan dibina dan berharap supaya pembinaan rumah ini dipercepatkan memandangkan banjir dikhabarkan akan berlaku lebih besar pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Mariam Mamat, 78, berkata rumah lamanya yang hanyut itu didiami oleh 11 penghuni termasuk anak, menantu dan cucu-cucunya.
“Saya masih belum boleh melupakan apabila pulang dari PPS SK Tok Deh, saya hampir pengsan melihat tapak rumah hanya tinggal tangga, bahagian dapur dan tandas sahaja,” katanya.
Keluhan penduduk terlibat, pantas mendapat perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang memaklumkan kesemua mangsa rumah hanyut akibat banjir tersebut akan menerima rumah baharu dalam masa terdekat.
“Pada asalnya nilai bajet rumah bantuan berkenaan ialah RM56,800 untuk satu unit, namun setelah menjalankan pemeriksaan, rumah itu dibina pada paras rendah iaitu diangkat hanya 0.30 meter sahaja, penilaian baharu dilakukan segera.
“Penilaian semula dibuat dan selepas mengambil kira keadaan itu masih berisiko terhadap banjir, kami mengangkat aras rumah kepada keadaan lebih tinggi iaitu 1.83 meter dengan kos baharu RM79,000,” katanya.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata usaha pembinaan akan dilakukan dalam masa terdekat, malah tawaran tender sudah pun dibuat.
“Pembinaan rumah baharu ini akan dilakukan pada tahun ini juga cuma ada beberapa perkara perlu diselesaikan melibatkan tender, kontraktor dan pembayaran insuran.
“Pembinaan rumah baharu ini juga akan mengambil masa tiga bulan sahaja, oleh itu kita mohon penghuni rumah bersabar dan biarlah rumah yang akan dibuat itu tidak berisiko dihanyutkan air lagi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan turut membantu membayar sewa rumah buat dua pemilik yang terkesan akibat kejadian itu.
“Dua pemilik rumah hanyut yang menyewa diberi bayaran sewa bergantung kepada nilai sewaan di kawasan kampung iaitu antara RM100 hingga RM350 dari awal kejadian hingga sekarang, bagaimanapun empat pemilik rumah yang menumpang di rumah lain tidak dibayar sewa,” katanya.
Sumber: BERNAMA
The post Rumah Hanyut: Pemilik Rayu Segerakan Pembinaan Rumah Gantian appeared first on Siakap Keli.

