TUMPAT – Taktik sindiket menjadikan sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, di sini sebagai stor transit rokok elektronik (vape) untuk diseludup ke Thailand terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Khamis.
Dalam serbuan Op Taring Wawasan kira-kira jam 1.30 petang itu, seorang lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor ditahan bersama 2,760 unit vape dan 1,200 kartrij cecair pelbagai perisa bernilai keseluruhan RM396,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di rumah tidak bernombor berkenaan menemukan sejumlah besar rokok elektronik yang dipercayai disimpan sebelum dihantar ke negara jiran.
Menurut beliau, suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki dikenali sebagai Azam dan bertanggungjawab menjaga stor serta membawa vape tersebut ke Thailand melalui pangkalan haram sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.
"Siasatan awal turut mendapati bekalan vape itu dibeli dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ujar beliau, kesemua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Ahmad Radzi menegaskan PGA akan terus mempergiat pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan memastikan tiada sebarang pembolosan berlaku.


