
KAJANG – Kejadian pecah rumah pemain bola sepak Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam adalah satu kebetulan dan tidak ada kaitan dengan serangan terhadap pemain lain kelab itu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Hussein berkata rumah Khuzaimi tidak disasarkan secara khusus hanya kerana dia adalah pemilik rumah itu.
“Siasatan awal mendapati suspek memantau rumah lain di kawasan itu sebelum menceroboh rumah pemain bola sepak itu.
“Tiada sesiapa di rumah ketika kejadian,” katanya.
Beliau berkata dalam kejadian itu sebuah motosikal, pasport dan beg berjenama telah dicuri.
“Rumahnya menjadi sasaran bukan kerana dia adalah pemain bola sepak Selangor.
"Suspek dipercayai ke rumah mangsa selepas kediaman itu tidak berpenghuni, manakala kediaman lain adalah berisiko tinggi.
"Secara kebetulan rumah yang dimasuki suspek adalah kediaman pemain Selangor FC (Khuzaimi)" katanya kepada pemberita selepas satu majlis di sini hari ini.

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki terlibat dalam kejadian pecah rumah itu.
Katanya, kenderaan yang digunakan suspek mempunyai nombor plat palsu.
Pemain bola sepak berusia 31 tahun itu membuat laporan polis mendakwa rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 11.30 malam minggu lalu.
Pada 6 Mei lalu, pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Berikutan serangan asid ke atas Faisal dan ancaman yang dibuat kepada pegawai pasukan Selangor FC, Khuzaimi bimbang akan keselamatan keluarganya.
Dia bimbang alamat rumahnya diketahui individu yang tidak sepatutnya selepas pencuri mengambil pasportnya.
“Kebimbangan terbesar saya sekarang ialah pasport yang dicuri dengan alamat kampung kami. Saya bimbang keselamatan keluarga saya di kampung,” kata Khuzaimi kepada New Straits Times. – The Malaysian Insight, 8 Jun 2024.

