
KIULU: Sepasang suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Tinompok, Pukak di sini, kini dapat menduduki rumah baharu yang lebih selesa menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Penerima Hendary @ Hendary Felik Lapik, 51, mengalami ketidakupayaan pertuturan dan fizikal menerima kunci rumah berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dalam satu majlis penyerahan, Jumaat.
Terletak di kawasan sawah padi, berhampiran sungai dan tidak jauh dari jalan, rumah baharu Hendary dibina di tanah milik keluarganya menawarkan persekitaran yang baik.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Hendary, kini menetap bersama isterinya, yang juga mengalami ketidakupayaan pertuturan dan dua anak perempuan mereka berusia dua dan lima tahun.
Difahamkan, sebelum menerima rumah baharu terbabit, Hendary dan keluarganya tinggal di rumah yang dikongsi bersama keluarga adik-beradiknya.
Menurut abangnya, Bonnyface Felik Lapik, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK) Kampung Bolotikon, rumah itu menandakan fasa baharu kehidupan berdikari untuk pasangan dan anak-anak mereka.
“Kemudahan rumah ini memberi mereka ruang untuk hidup sendiri dalam keluarga kecil mereka, namun masih cukup dekat untuk keluarga besar atau saudara-mara melawat dan membantu jika diperlukan.
“Bantuan (rumah) ini akan membantu mereka mengurus dengan lebih baik sebagai sebuah keluarga sekali gus memberi ruang kepada anak-anak untuk membesar,” katanya sambil menambah, keluarga itu bersyukur permohonan rumah SMJ dipermudahkan.
Hendary yang juga menggunakan kaki palsu, menyara keluarganya melalui pelbagai jenis kerja secara kecil-kecilan di kampung.
Dalam majlis penyerahan kunci yang ringkas, Hendary dilihat jelas berterima kasih menggunakan bahasa isyarat kepada Adun Kiulu dan pihak kerajaan atas bantuan berkenaan.
Sementara itu, Joniston berkata program perumahan Rumah Mesra SMJ adalah sebahagian komitmen berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, terutama mereka yang memerlukan dari segi berpendapatan rendah dan cabaran fizikal.
“Kami mahu memastikan golongan yang memerlukan termasuk mereka yang kurang upaya tidak ketinggalan menerima kemudahan rumah seperti ini sekali gus memberi impak besar kepada kehidupan seharian.
“Lebih banyak rumah mesra SMJ akan dibina di Kiulu kerana masih ramai keluarga kurang bernasib baik dan memerlukan tempat tinggal lebih selesa,” kata Joniston.
Ketika ini, terdapat 120 rumah SMJ dibina termasuk dalam proses pembinaan bagi kawasan Dun Kiulu di bawah Pelan Pembangunan SMJ sebagai komitmen kerajaan negeri meneruskan usaha kebajikan kepada masyarakat dan pembangunan luar bandar yang inklusif.

