Rumah Pemain Pertahanan Selangor FC Dipecah Masuk

LocalFootball
23 May 2024 • 12:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Khuzaimi Piee berkata rumahnya dipecah masuk ketika sedang menjalani latihan petang semalam. – Gambar Instagram

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee mendakwa rumahnya dipecah masuk semalam, ketika beliau sedang menjalani latihan bola sepak di Shah Alam.

Beliau ialah pemain bola sepak tempatan keempat menjadi mangsa perbuatan jenayah bulan ini.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Ahmad Khuzaimi berkata beliau mendapati pintu pagar depan dan belakang rumahnya telah terbuka semasa tiba pada jam 9 malam. Pemain itu berkata beliau keluar rumah kira-kira 2 petang untuk menyertai sesi latihan.

Sebuah motosikal jenis Yamaha, empat beg silang pelbagai jenama dan sebuah pasport juga hilang, kata pemain berusia 30 tahun itu.

image is not available

Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meningkatkan kawalan keselamatan ke atas pemain sewaktu pergi dan balik dari stadium termasuk di hotel penginapan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata, perkara tersebut wajar mendapat perhatian, bukan sekadar bersandar kepada kawalan keselamatan di stadium semata-mata.

Pada 5 Mei lalu, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sehingga membataskan pergerakan dan percakapannya.

Faisal, 26, pemain bola sepak Malaysia kedua menjadi mangsa perbuatan jenayah dalam tempoh kurang seminggu.

Insiden yang menimpa beliau berlaku tiga hari selepas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dua perompak ketika pulang dari latihan.

Sementara itu pada 7 Mei lalu, cermin belakang kereta bekas ketua skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali. – The Vibes, 23 Mei 2024