Rumah terbiar jadi ancaman denggi, PBT dicadang guna kuasa mahkamah

LocalHealth & Fitness
15 Aug 2026 • 7:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rumah terbiar jadi ancaman denggi, PBT dicadang guna kuasa mahkamah
Sivanesan (tiga dari kanan) ketika meninjau keadaan rumah tinggal di Taman Lim, Ipoh yang didakwa berisiko tinggi terhadap denggi dan chikungunya susulan longkang tersumbat serta rumput tidak dipotong.

IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menggunakan kuasa mahkamah bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan di lot perumahan terbiar yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk A Sivanesan berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi menangani risiko penularan denggi.

Menurutnya, PBT ketika ini berdepan kekangan kerana tidak mempunyai kuasa untuk memasuki premis persendirian yang terbiar bagi tujuan pembersihan.

“Jadi saya cadangkan PBT bekerjasama dengan PTG untuk mengenal pasti pemilik premis melalui carian rasmi sebelum mengeluarkan notis tuntutan pembersihan.

“Sekiranya pemilik kediaman gagal mematuhi arahan, pihak berkuasa boleh memohon perintah mahkamah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan rumah tinggal di Taman Lim di sini yang didakwa berisiko tinggi terhadap denggi dan chikungunya susulan longkang tersumbat serta rumput tidak dipotong.

Sivanesan berkata, tindakan lebih tegas termasuk lelongan juga wajar dipertimbangkan sekiranya pemilik kediaman terus berdegil dan gagal menyelenggara hartanah masing-masing.

“Saya akan bercakap dengan Datuk Bandar dan Pengarah PTG berkaitan perkara ini agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Tegasnya, tindakan pembersihan perlu diberi perhatian bagi memastikan keadaan persekitaran yang tidak terurus, tidak meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan nyamuk.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta sedang menjalankan penilaian risiko di Taman Lim dan hasil dapatan akan dikongsi bersama pihak berkepentingan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, antara isu utama yang dikenal pasti ialah kewujudan kira-kira 19 rumah banglo terbiar yang tidak diselenggara, sekali gus berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Pada tahun ini hanya dua kes denggi didaftarkan di Taman Lim, masing-masing pada Mei dan Jun, manakala tahun lalu hanya satu kes dilaporkan.

“Wabak terakhir direkodkan pada Januari 2024 yang melibatkan empat kes dan tiada kes chikungunya dilaporkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved