Rumah Terbuka 3 Negeri Bukan Untuk Tawan Hati Pengundi - PM

Politics
21 Apr 2023 • 6:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar beramah mesra bersama para jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Taman Petaling Utama hari ini. - Gambar Bernama

PETALING JAYA - Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak memiliki sebarang kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Menyangkal dakwaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran majlis itu tidak hanya tertumpu di ketiga-tiga negeri berkenaan, sebaliknya turut diadakan di Selangor.

“Negeri banyak, semua. Selangor (pun) ada (majlis rumah terbuka),” katanya ringkas, seperti dilaporkan BERNAMA.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid As-Salam, Pangsapuri Petaling Perma, di sini hari ini.

Anwar yang tiba di masjid berkenaan sekitar jam 1 tengah hari diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Shamsul Firdaus Mohamed Supri.

Beliau dan jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk ‘Meraih Hasil Tarbiah Ramadan’ yang disampaikan Ketua Biro Dakwah masjid, Mohamad Firdaus Mahad.

Perdana Menteri sebelum itu ditanya mengenai dakwaan bahawa penganjuran majlis rumah terbuka oleh kerajaan di tiga negeri dikuasai pembangkang adalah kerana mereka ingin menawan hati pengundi.

Ini kerana kesemua tiga negeri terbabit bakal berdepan PRN tidak lama lagi.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi hebahan semalam memaklumkan, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Anwar sempena Aidilfitri terlebih dahulu akan diadakan di Kedah iaitu pada 29 April.

Ia disusuli majlis di Kelantan pada 12 Mei, dan Terengganu keesokan harinya.

Perdana Menteri juga dijangka menghadiri tiga lagi majlis seumpamanya yang bakal diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. - Getaran, 21 April 2023