Rumpai tidak terkawal sekat pertumbuhan padi - UPM

10 Oct 2023 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rumpai tidak terkawal sekat pertumbuhan padi - UPM

zulfadli

10/10/2023 - 10:57

KUALA LUMPUR 10 Okt - Rumpai yang tidak dikawal akan menyekat pertumbuhan padi semasa awal pertumbuhan pokok padi, kata pakar rumpai Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi.

Abdul Shukor berkata, apabila rumpai tidak dikawal akan menyebabkan hasil padi menjadi kurang.

"Namun begitu, penggunaan racun rumpai yang berlebihan akan merosakkan kualiti persekitaran. Ia juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

"Rumpai merupakan masalah utama yang memerlukan kawalan secara secara rapi. Kawalan rumpai tanpa kimia di sawah perlu dilaksanakan secara berkala," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, negara digemparkan dengan isu kekurangan bekalan beras tempatan (BPT) di pasaran terus berlarutan meskipun pengeluaran beras tersebut dikatakan antara 60% sehingga ke 65% setahun.

Katanya, dalam sistem penanaman padi, aktiviti kawalan rumpai adalah satu aktiviti pertanian yang sangat penting dan tidak boleh dielakkan.

"Rumpai tumbuh dan bersaing dengan pokok padi untuk mendapat nutrien, cahaya, air dan ruang. Selain menimbulkan masalah persaingan, rumpai juga menjadi perumah kepada serangga perosak, tikus dan patogen penyakit.

image is not available
Prof Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi

"Banyak laporan menyatakan bahawa persaingan rumpai dengan padi akan menjejaskan hasil padi serta merugikan pulangan ekonomi kepada pesawah.

"Masalah ini juga dapat menambah kos pengurusan dan kawalan rumpai kerana pesawah perlu mengeluarkan kos yang lebih untuk aktiviti semburan racun rumpai," ujarnya pada majlis Syarahan Inaugural Sustainable Weed Management Enhance Food Security in Malaysia.

Beliau turut berpesan kepada mereka yang terlibat dalam industri pertanian terutama padi agar sentiasa mengawal rumpai sepanjang musim penanaman termasuk peringkat selepas penuaian. - DagangNews.com