Rundingan AS-Iran Gagal Capai Persetujuan, Gencatan Senjata Teluk Kekal Buat Masa Ini

WorldPolitics
12 Apr 2026 • 6:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Rundingan AS-Iran Gagal Capai Persetujuan, Gencatan Senjata Teluk Kekal Buat Masa Ini

Tehran - Iran dan Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai persetujuan pada Ahad untuk menamatkan perang di Timur Tengah, namun tiada tanda segera kembalinya permusuhan dan rantau itu masih berharap gencatan senjata rapuh dapat dikekalkan, lapor AFP.

Naib Presiden AS, JD Vance, meninggalkan Pakistan selepas rundingan yang merupakan pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak sejak Revolusi Islam 1979, sambil memberi amaran bahawa Washington telah mengemukakan tawaran terakhirnya kepada Tehran. 

“Kami meninggalkan tempat ini dengan satu cadangan yang sangat mudah.

“Kita akan lihat sama ada pihak Iran menerimanya,” katanya.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata pasukan rundingannya telah mengemukakan cadangan yang membina namun pihak AS gagal memperoleh kepercayaan delegasi Iran dalam rundingan tersebut. 

“Kami telah mengemukakan inisiatif yang membina, namun akhirnya pihak satu lagi tidak berjaya meraih kepercayaan delegasi Iran dalam pusingan rundingan kali ini,” ujarnya.

Baca juga:

Kegagalan rundingan itu dijangka meningkatkan kebimbangan bahawa kembalinya pertempuran boleh menyebabkan harga tenaga global meningkat serta menjejaskan kemudahan perkapalan dan minyak serta gas di Teluk. 

Bagaimanapun, Kementerian Tenaga Arab Saudi memaklumkan pada Ahad bahawa saluran paip minyak utama timur-barat negara itu telah kembali beroperasi selepas rosak akibat serangan terdahulu. 

Kementerian Pengangkutan Qatar pula memaklumkan bahawa beberapa sekatan terhadap perkapalan di Teluk telah ditarik balik. 

Pakistan yang menjadi tuan rumah rundingan dan memainkan peranan membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan menyatakan akan terus memudahkan dialog dan menggesa kedua-dua negara menghormati gencatan senjata sementara.

Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar berkata, amat penting bagi pihak yang terlibat untuk terus mengekalkan komitmen mereka terhadap gencatan senjata.

Laporan media Amerika Syarikat menyatakan antara isu pertikaian termasuk tuntutan Iran untuk mengawal Selat Hormuz dan keengganannya melepaskan simpanan uranium yang diperkayanya.

Menteri Kesihatan Britain, Wes Streeting, bercakap bagi pihak kerajaan Britain, menyifatkan kegagalan rundingan itu sebagai mengecewakan namun menegaskan usaha dialog masih perlu diteruskan.

“Itu tidak bermakna tiada nilai untuk terus mencuba,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump, turut menyatakan bahawa negaranya telah mencapai kemenangan di medan perang selepas beberapa jam rundingan pada Sabtu.

“Sama ada kita mencapai perjanjian atau tidak, ia tidak memberi perbezaan kepada saya. Ini kerana kita telah menang,” ujarnya.