Rundingan AS-Iran tunjuk perkembangan positif, Malaysia sokong usaha pelbagai hala - PM

LocalPolitics
24 May 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rundingan AS-Iran tunjuk perkembangan positif, Malaysia sokong usaha pelbagai hala - PM
Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat susulan perkembangan positif rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menerima petunjuk menggalakkan daripada para pemimpin Asia Barat bahawa rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara AS dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak dalam trajektori positif.

Menurut Anwar, perkembangan itu memberi harapan ke arah penyelesaian diplomatik yang mampu memperkukuh keamanan dan keselamatan rantau berkenaan.

"Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses ini.

"Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden AS, Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Perdana Menteri berharap semua pihak yang terlibat dalam rundingan tersebut dapat memanfaatkan peluang sedia ada bagi memastikan proses rundingan berjaya diselesaikan secara damai dan menyeluruh.

Dalam masa sama, Anwar menambah Malaysia turut menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa, menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di Asia Barat. - Awani

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved