
KUALA LUMPUR 15 Dis – Sesi rundingan seterusnya antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah mengenai geran khas dijadualkan pada 19 Disember, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan telah menyatakan komitmen mereka untuk menjalankan perbincangan secara berperingkat bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar.
“Kerajaan persekutuan telah meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah pada 17 November 2025 dan menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Geran Khas antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah.
“Selain itu, turut dibincangkan adalah terma rujukan yang digunakan sebagai panduan semasa rundingan,” katanya ketika menangguhkan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.
Amir Hamzah berkata, kerajaan persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 komited untuk merundingkan kadar peruntukan khas yang lebih baik, termasuk meningkatkan jumlah peruntukan khas kepada Sabah.
“Pada 2023, kerajaan persekutuan telah meningkatkan geran khas Sabah kepada RM300 juta.
“Bermula 2025, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah geran khas tersebut kepada RM600 juta.
“Pembayaran ini dibuat secara sementara sebelum menunggu kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah merangka kaedah baharu yang akan menentukan geran khas pada masa akan datang,” tambah beliau.
Menurut Amir Hamzah, kerajaan persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan peruntukan di Sabah di mana peruntukan pengurusan dan pembangunan terus meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.
Beliau menjelaskan peruntukan ini disalurkan untuk melaksanakan pembangunan strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan penghubung, jalan luar bandar dan kemudahan sosial. -- BERNAMA


