
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan gelombang baharu tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu sebagai salah percaturan yang bertujuan menyakitkan dan memecahbelahkan pihaknya selepas rundingan perdagangan gagal Jumaat lalu.
“Mereka minta terlalu banyak dan menawarkan terlalu sedikit,” kata Carney kepada rakyat Kanada pada pagi Sabtu, sambil menambah negara itu kini berada dalam ‘perang’ perdagangan selepas dikenakan duti baharu AS.
Carney mengesahkan beliau akan membalas tarif AS secara setimpal ‘dolar demi dolar’ bermula 8 September termasuk mengenakan levi ke atas keluli, produk tenusu, peralatan rumah dan barangan elektronik.
Kegagalan rundingan perdagangan ini menjejaskan hubungan perdagangan yang terjalin rapat antara dua negara sekutu tersebut tanpa sebarang jalan penyelesaian yang jelas buat masa ini.
Presiden AS, Donald Trump, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.
Kedua-dua negara pada awalnya optimis untuk mencapai kesepakatan pada awal minggu lalu, namun rundingan terhenti selepas kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain membuat perubahan pada saat-saat akhir.
Berikutan kegagalan rundingan itu, Kanada kini dikenakan tarif baharu AS sebanyak 50 peratus ke atas pelbagai barangan keluaran Kanada, di samping tarif sedia ada yang dikenakan ke atas keluli, aluminium, automotif dan kayu balak dari Kanada.
Tarif baharu ini merangkumi liputan yang terhad, melibatkan kira-kira AS$20 bilion (RM80.7 bilion) barangan import Kanada atau sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan termasuk wain, produk tenusu, simen, pakaian dan peralatan hoki.
Carney berkata, Kanada membuat tindakan balas itu secara terpaksa demi mempertahankan kepentingannya. Butiran terperinci mengenai tindakan balas berkenaan akan dikeluarkan dalam masa beberapa hari lagi, katanya.
Pemimpin-pemimpin parti persekutuan lain di Kanada termasuk pihak pembangkang Konservatif, menyatakan sokongan kepada Carney, sebagaimana yang turut dinyatakan oleh pemimpin beberapa wilayah di Kanada.
Tarif yang dikenakan ke atas barangan import dari negara luar merupakan komponen utama dalam dasar perdagangan Trump, dengan Presiden AS itu berhujah ia akan meningkatkan sektor pembuatan AS dan mewujudkan peluang pekerjaan domestik.
Bagaimanapun, pihak pengkritik berpendapat tarif berkenaan meningkatkan harga barangan bagi pengguna di AS serta mengganggu dan merosakkan ekonomi global.- BBC
The post Rundingan perdagangan gagal, Kanada balas tarif AS appeared first on Utusan Malaysia.


