Rundingan Petronas-Rusia langkah strategik jamin bekalan bahan api

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 APRIL: Keputusan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk berunding dengan Rusia dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal mencukupi, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan global.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia perlu mengambil pendekatan proaktif memandangkan kebergantungan negara terhadap import bahan api masih tinggi.

“Kira-kira 38 peratus sumber bahan api negara adalah bergantung kepada import, satu angka yang besar dan berpotensi mencetuskan ketidakseimbangan dalam ekosistem bekalan sekiranya berlaku gangguan.

“Justeru, terdapat keperluan untuk Malaysia mendapatkan sumber bahan api dari negara lain sebagai langkah memperkukuh dan memastikan kestabilan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, di sini, semalam.

image is not available
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid ditemu bual dalam program Bicara Semasa mengenai Gelombang Krisis Global: Pakej Selangor Lindungi Rakyat di Media Selangor, Shah Alam pada 20 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Menurut Mohd Afzanizam, pendekatan yang diambil Malaysia ketika ini turut mencerminkan keseimbangan dalam mempertimbangkan faktor geopolitik sekali gus membantu negara mencapai kesepakatan dalam urusan bekalan tenaga.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan harga bahan api akan terus meningkat sekiranya konflik global berlarutan yang boleh yang boleh menjejaskan perbelanjaan kerajaan serta memberi tekanan kepada ekonomi negara.

Mengulas perkembangan antarabangsa, Mohd Afzanizam juga berharap Amerika Syarikat (AS) dapat memainkan peranan meredakan ketegangan global khususnya menjelang pilihan raya peringkat pertengahan negara itu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan konflik semasa menuntut kerajaan mengambil langkah strategik termasuk mempercepatkan peralihan tenaga bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Petronas akan berunding dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak bagi memastikan ia mencukupi untuk kegunaan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini banyak negara Eropah dan AS yang sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Rusia, kini terpaksa bersaing mendapatkan bekalan minyak daripada negara berkenaan berikutan perubahan dalam landskap bekalan tenaga global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved