Rundingan PRN Melaka minggu depan

LocalPolitics
26 Sep 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rundingan PRN Melaka minggu depan

MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan memulakan dua siri pertemuan berasingan dengan dua kumpulan politik minggu depan bagi memperhalusi kemungkinan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan mendedahkan identiti gabungan yang akan ditemui itu, sebaliknya menegaskan rundingan hanya akan diputuskan selepas semua perkara diperhalusi berasaskan pertimbangan manfaat jangka sederhana dan panjang.

Menurutnya, ibu pejabat parti telah mengaturkan dua perjumpaan pada tarikh dan waktu berbeza bagi membincangkan perkara tersebut.

“Minggu depan, ibu pejabat telah mengaturkan dua perjumpaan yang berasingan di tarikh dan waktu yang berbeza, dua kumpulan yang berlainan.

“Baru nak berbincang, nak dedah macam mana? Bincang dululah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas mengenai gabungan yang paling sesuai untuk bekerjasama dengan BN, Ahmad Zahid berkata, segala keputusan akan dibuat berdasarkan keseimbangan antara mudarat dan manfaat kepada negara serta BN sendiri.

Katanya, BN tidak mahu terburu-buru membuat keputusan yang boleh memberi kesan terhadap hala tuju politik.

“Kita mesti melihat dari segi mudarat dan manfaat, mana yang lebih. Kita sebagai sebuah gabungan politik atas nama BN mahu melihat dari jangka sederhana dan panjang, dari segi manfaat kepada negara dan khususnya kepada gabungan parti kita yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan rundingan hanya melibatkan Pas susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September lalu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada kepimpinan parti berkaitan untuk menentukannya.

“Saya serahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung dan Pengerusi PN untuk menentukan. – UTUSAN

The post Rundingan PRN Melaka minggu depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved