
SANDAKAN: Jalan Buli Sim-Sim masih ditutup susulan runtuhan bongkah batu di situ pada Khamis.
Laluan alternatif adalah dari Kampung Sim-Sim menuju ke arah bandar bagi laluan ke Batu 7 dan yang lain, manakala jalan dari arah BDC ke Kampung Sim-Sim masih dapat dilalui seperti biasa.
Adun Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, kerja-kerja pembersihan juga telah dijalankan bagi mengalihkan batu yang menghalang laluan itu.
Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan pengguna dan penduduk sekitar di Kampung Sim-Sim di sini, jalan berkenaan masih ditutup sementara.
Beliau berkata demikian pada Jumaat selepas sekali lagi meninjau kawasan runtuhan itu, selepas kerja pembersihan selesai dijalankan oleh pihak berkenaan sejak Khamis.
Jelasnya, menurut maklumat yang diterima daripada pihak polis, jalan tersebut masih belum dibuka kepada orang awam kerana pemeriksaan keselamatan cerun oleh pakar Jabatan Kerja Raya dari Kota Kinabalu masih belum siap.
Katanya, pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan tiada lagi batu-batu yang berisiko runtuh dari bukit tersebut.
Oleh sebab laluan itu masih ditutup, orang ramai diminta untuk mengelak ke kawasan tersebut, serta mengikuti arahan pihak berkuasa dari masa ke masa demi keselamatan bersama.
Mereka juga diminta tidak sesuka hati membuka halangan yang dipasang di laluan itu oleh pihak berkuasa.


