Rupa Sony Xperia 1 VI didedah, mungkin tidak lagi guna skrin 4K

Digital
15 Apr 2024 • 10:29 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Bagi anda yang mengikuti perkembangan telefon pintar Sony, pasti anda tahu untuk tahun ini ia adalah giliran Sony Xperia 1 VI. Model generasi ke-6 Sony Xperia dijangka akan diperkenal sekitar pertengahan tahun ini, jika melihat daripada pelancaran generasi sebelumnya. Semakin mendekati tarikh pelancarannya, khabar angin berkenaan Xperia 1 VI telah mula diperkatakan, malah rupa parasnya juga telah didedahkan menerusi render terbaru.

Berdasarkan render yang dikongsi oleh Onleaks, Xperia 1 VI masih mengekalkan rupa paras yang sama seperti model terdahulu dengan badan ramping dan nisbah skrin tinggi. Dari depan, ia masih ada bezel sedikit tebal di bahagian atas dan bawah skrin. Sementara itu, pada bahagian belakangnya pula terdapat rekaan bersih dengan tiga modul kamera dan lampu flash yang diposisikan identikal dengan Sony Xperia 1 V.

Selain itu, butang di sisi kanan telefon juga ada kedudukan yang sama di mana terletaknya butang kuasa dengan fungsi pengimbas cap jari, serta butang khusus untuk menangkap gambar. Port USB-C boleh dilihat ada di bawah telefon dengan slot kad sim di sebelahnya.

Namun, walaupun rupa parasnya kelihatan sama, Xperia 1 VI terbaru ini dijangka akan ada dimensi yang lebih pendek, lebar dan sedikit tebal. Menurut sumber, mereka mengatakan model generasi ke-6 akan menggunakan nisbah 19:5:9, sama seperti yang digunakan di Galaxy S24 Ultra berbanding 21:9 yang Xperia 1 V ada.

Mungkin tiada lagi paparan 4K

Satu perkara yang menonjol pada telefon Xperia adalah skrin beresolusi 4K-nya. Tetapi, perkara ini mungkin berubah untuk model akan datang kerana Sony dikatakan akan memasangkan paparan 2K dan bukannya 4K seperti yang terdapat pada model sedia ada.

Nampaknya, ini mungkin langkah Sony untuk mengurangkan kos penghasilan serta memberikan jangka hayat bateri lebih baik pada Xperia 1 VI akan datang. Lagipun, realitinya, telefon flagship Xperia 1 yang menggunakan skrin 4K tidak memaparkan kandungan 4K setiap masa, sebaliknya hanya memaparkan resolusi maksimum dalam aplikasi tertentu ataupun ketika menonton video dan gambar beresolusi tinggi.

Bagaimanapun, setakat ini, sudah tentu ia hanyalah khabar angin dan maklumat berkaitan harga juga masih belum diketahui. Sebagai perbandingan, Xperia 1 V dilancar pada harga RM6,000. Oleh itu, nantikan pelancaran Sony Xperia 1 VI yang mungkin diadakan sekitar bulan Mei nanti.

Bacaan berkaitan

View Original Article