Rupanya Adi Putra Alami ‘Slipped Disc’ Semasa Penggambaran 'Mat Kilau'

19 Jul 2022 • 2:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Adi Putra - Gambar oleh Noreeza Hashim

Melihat aksi lincah pencak silat yang dilakonkan Datuk Adi Putra dalam filem epik biografi sejarah Mat Kilau, siapa sangka aktor tersebut rupanya mengalami cakram gelincir atau slipped disc di bahagian bawah tulang belakangnya.

Pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim mendedahkan, dia sudah mempunyai penyakit ini sejak beberapa tahun lalu, namun tidak melakukan sebarang pembedahan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan alam.

Malah, kerana sikap dedikasinya terhadap watak Mat Kilau, Adi komited melakonkan babak perlawanan silat setiap hari sepanjang penggambaran.

“Boleh dikatakan setiap hari ada aksi lawan dan saya akui ia memang mencabar. Sehingga hari ini, saya tidak melakukan pembedahan kerana ia melibatkan bahagian tulang yang paling bawah. Selagi boleh bertahan, saya akan lakukan.

“Saya memang bergantung kepada ubat-ubatan alam seperti kerap minum air kelapa. Syukur Allah ciptakan air kelapa kerana ia sangat bermanfaat,” katanya ketika ditemui Getaran di sesi sidang media khas bersama Adi Putra baru-baru ini.

image is not available
Adi Putra komited melakonkan babak perlawanan silat setiap hari sepanjang penggambaran - Gambar oleh Noreeza Hashim

Bukan itu sahaja, Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2017 turut mendedahkan beberapa cabaran lain yang dihadapi pihak produksi.

“Terlalu banyak keperitan sepanjang penggambaran ini. Beberapa kali kami terpaksa melakukan sesi sumbang saran agar tidak lari dari landasan cerita.

“Namun, pujian patut diberikan kepada Syamsul kerana dia begitu gila mengarahkan naskhah ini. Jika ada babak tidak kena seperti baju yang tidak bersesuaian, Syamsul akan lanjutkan hari penggambaran. 

“Kita faham keputusan ini akan melibatkan logistik dan kewangan. Namun, Syamsul sanggup lakukannya untuk memastikan segala visual dalam kepalanya dapat dijelmakan,” tambahnya yang juga pernah mendalami ilmu Silat Kalimah di Pulau Jawa, Indonesia.

Setelah empat minggu tayangan, Mat Kilau berjaya mencatatkan rekod RM80 juta sekali gus menumpaskan deretan filem dalam kategori ‘All Time International Malaysia Box Office’ termasuklah The Avengers, Jurassic World, Spiderman dan Black Panther.

Mat Kilau yang diterbitkan Studio Kembara menceritakan tentang usaha pahlawan Melayu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu. Dalam filem ini, Adi Putra turut bergandingan dengan barisan pelakon hebat yang lain seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Wan Hanafi Su. 

Terdahulu, Mat Kilau meraih kutipan sebanyak RM1 juta semasa hari pertama ditayangkan menjadikannya filem epik pertama Malaysia dengan kutipan hari pembukaan paling tinggi dalam sejarah. -  Getaran, 19 Julai 2022