Rusuhan Indonesia: Pelajar Malaysia tak terlibat, Zambry yakin pemerintah mampu kawal demi keselamatan rakyat

2 Sep 2025 • 12:50 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan lebih 1,200 pelajar Malaysia di Indonesia berada dalam keadaan selamat meskipun negara jiran itu sedang berdepan dengan insiden rusuhan di beberapa kawasan.

“Alhamdulillah, kita tidak mendapat sebarang berita yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di sana.
“Walau bagaimanapun, kita terus memantau keadaan secara dekat bersama Wisma Putra dan juga wakil Education Malaysia Indonesia (EMI). Mereka sentiasa memberikan maklum balas terkini kepada pihak kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

image is not available

Zambry berkata, pihak EMI turut menasihatkan pelajar supaya mengelakkan kawasan terjejas, sementara pemantauan terus dijalankan di seluruh wilayah termasuk luar Jakarta.

“Kita percaya pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah terbaik untuk memastikan keadaan kembali pulih.
“Dengan kepimpinan pemerintah Indonesia sekarang, saya yakin mereka mampu mengatasi masalah ini demi keselamatan rakyat mereka dan juga kestabilan serantau,” jelasnya.

image is not available

Pelajar Malaysia tak terlibat

Beliau turut menyatakan harapan agar keamanan segera kembali di Indonesia memandangkan hubungan erat Malaysia–Indonesia dalam pelbagai aspek.

“Kita sering ke sana, hubungan kita sangat akrab. Sebab itu kita mendoakan agar keadaan kembali aman, memberi kebaikan kepada rakyat Indonesia dan juga negara-negara jiran termasuk Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Zambry hadir melancarkan Buku Education Of The Interior: Essays In Honour Of Professor Syed Ali Ashraf, menubuhkan Institute of International and ASEAN Studies (IINTAS), serta membuka seminar antarabangsa mengenai ASEAN Futures di ISTAC.

image is not available

Sebelum ini, media tempatan Indonesia melaporkan polis menahan beberapa individu di Sulawesi Selatan selepas protes bertukar tegang apabila peserta membakar tayar dan menutup laluan utama.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Alwani Zafirah Khairul)