
KATHMANDU: Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah merayu rakyatnya supaya bertenang selepas pertempuran antara kumpulan penganut Hindu dan Islam di selatan negara itu mencetuskan rusuhan yang mengorbankan tiga nyawa.
Shah, yang sebelum ini dilihat kurang tampil di khalayak ramai sejak dipilih memegang jawatan pada Mac lalu, menyampaikan ucapan sulungnya kepada negara, dengan menyeru rakyat menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menghapuskan ancaman ketidakstabilan itu.
Dalam ucapannya, beliau turut berjanji siasatan akan dijalankan secara adil dan telus sepenuhnya.
“Bagi pihak kerajaan, saya dengan ikhlas merayu kepada rakyat, masyarakat sivil, komuniti agama, semua pemimpin, parti politik dan media yang bertanggungjawab supaya bersabar, menahan diri serta mengekalkan keamanan, keharmonian, semangat persaudaraan termasuk perpaduan negara.
“Kerajaan komited untuk membawa sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap insiden ini ke muka pengadilan,” kata Shah dalam ucapan yang disiarkan melalui video.
Keganasan itu bermula lewat Ahad di sebuah kampung di daerah Sunsari di selatan Nepal yang bersempadan dengan India. Ia berlaku selepas tercetus pertengkaran berhubung muzik yang dimainkan dengan kuat dan penggunaan bendera keagamaan ketika satu perarakan penganut Hindu, menurut pegawai.
Menurut pegawai tempatan, Poshan Lamichhane, polis melepaskan tembakan bagi menyuraikan orang ramai. Dua lelaki maut dalam kejadian itu, menurut jurucakap polis, Abi Narayan Kafle. – AFP
The post Rusuhan ragut tiga nyawa, PM Nepal rayu rakyat bertenang appeared first on Utusan Malaysia.
