
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun, gagal diluluskan hari ini.
RUU berkenaan hanya memperoleh 146 sokongan Ahli Parlimen, sekali gus tidak mencukupi majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Seramai 32 Ahli Parlimen tidak menghadiri sidang hari ini, manakala 44 Ahli Parlimen lagi memilih untuk berkecuali.
Keputusan undian berkenaan diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan 41 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.
Untuk diluluskan, RUU terbabit memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen.
RUU itu adalah yang pertama dibentangkan, melibatkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia gagal dibawa untuk bacaan ketiga dan seterusnya diluluskan.
Ia dibentangkan untuk bacaan pertama minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bacaan kedua dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, diikuti dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Kegagalan untuk meluluskan RUU tersebut dilihat memberi petanda tidak menentu kepada satu lagi Rang Undang-Undang pindaan penting esok, berkaitan dengan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang juga memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Azalina, semasa menggulung Rang Undang-Undang terbabit menegaskan, pindaan ini telah digubal dan dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan rasa hormat yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi Raja-Raja.
Beliau berkata, perlembagaan itu sendiri telah jelas memperuntukkan kategori pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 1595 dan Perkara 38(4).
"Pindaan ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori tersebut dan tidak menjejaskan kedaulatan, hak istimewa atau kedudukan Raja-Raja.
“Oleh itu, kerajaan bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan, iaitu melalui mekanisme Perkara 159(3)," katanya.
Jelas Azalina, penetapan had penggal tidak menjejaskan hak istimewa Seri Paduka Baginda, sebaliknya mentakrifkan parameter kelayakan individu yang boleh dipertimbangkan, justeru tidak timbul persoalan untuk mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Had 10 tahun dipilih kerana ia merupakan ukuran masa yang objektif dan seragam serta selaras dengan struktur perlembagaan yang tidak mengikat kedudukan Perdana Menteri kepada penggal tetap, memandangkan Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
"Pendekatan ini mengelakkan ketidakpastian tafsiran mengenai penggal tersebut sambil mengekalkan ruang yang mencukupi untuk kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran tanpa membenarkan penumpuan kuasa yang berlebihan," katanya. - Getaran, 2 Mac 2026
