
RUU Pekerja Gig Dijangka Dibentang Di Parlimen Ogos Atau September – TPM
Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Ogos atau September depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU itu merupakan langkah penting dalam memperkenalkan kerangka perlindungan sosial bagi lebih 1.12 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor tersebut.
Ujarnya, ia juga bakal menjadi Akta Pekerja Gig yang pertama di dunia meliputi pekerja gig berasaskan platform dan bukan platform.
“Ini sekaligus menjadi penanda aras global dalam perlindungan pekerja dalam ekonomi digital.
“Undang-undang ini bakal memastikan keadilan dengan menyeimbangkan kebajikan pekerja gig dan kecekapan serta fleksibiliti operasi penyedia platform digital,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig di Bangi hari ini.
Menurutnya, sesi meja bulat itu adalah komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara melalui pendekatan dasar yang inklusif dan progresif.
Menghimpunkan lebih 100 peserta, ia dihadiri oleh wakil kementerian, agensi kerajaan serta lebih 80 platfrom ekonomi gig di seluruh negara.
“Sebagai sebahagian daripada proses konsultasi menyeluruh, sesi ini menekankan keperluan membentuk rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif bagi melindungi hak dan peranan seluruh pemegang taruh, termasuk pekerja gig, penyedia platform dan pengguna,” katanya.
Selain RUU Pekerja Gig, sesi itu turut memberi tumpuan kepada Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
Ahmad Zahid berkata penubuhan SEGiM yang akan diumumkan kelak akan menjadi komponen utama dalam ekosistem ekonomi gig.
Suruhanjaya itu akan berfungsi sebagai badan pelaksana, penyelaras dan pemantau utama sektor gig negara, memastikan pematuhan piawaian industri dan pelaksanaan dasar yang telus serta memperkukuh amalan kawal selia kendiri (self-regulation) dalam kalangan penyedia platform.
“SEGiM akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan penyelarasan dasar yang bersepadu di peringkat nasional.
“MDEC pula akan terus berperanan sebagai sekretariat teknikal, menyatukan input industri serta menyelaras sesi libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi berkaitan.
“Matlamat kita jelas, untuk mewujudkan keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan pekerja gig, sambil menjadikan ekonomi gig sebagai pemacu utama kepada ekonomi digital negara yang lebih adil, responsif dan mampan.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan, Malaysia mampu muncul sebagai peneraju dalam membangunkan ekosistem ekonomi gig yang berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
The post RUU Pekerja Gig Dijangka Dibentang Di Parlimen Ogos Atau September – TPM appeared first on Siakap Keli.

