
KUALA LUMPUR – Platform e-hailing Indrive menyambut baik Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang baru diluluskan, namun mengingatkan kerajaan supaya tidak keterlaluan dalam mengawal selia sektor itu kerana ia boleh menghapuskan fleksibiliti yang menjadikan kerja gig menarik.
Wakil Indrive, Govin Kumar berkata walaupun undang-undang itu merupakan satu langkah ke hadapan bagi 1.2 juta pekerja gig di Malaysia namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang berhati-hati.
“Peraturan itu bagus, tetapi jika keterlaluan, ia boleh menghalang pemain baharu daripada memasuki pasaran atau menghalang pekerja daripada menyertainya kerana berasa terbeban dengan kerenah birokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam podcast Scoop Insight bersama Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez dan Editor Berita, A. Azim Idris.
RUU berkenaan diluluskan Dewan Negara pada 9 September lalu. Sebelum ini, ia diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu.
Kementerian Sumber Manusia menyifatkan ia sebagai langkah bersejarah, menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan di rantau Asean dalam melaksanakan undang-undang perlindungan pekerja gig.
Antara peruntukan termasuk penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk penyelesaian pertikaian, Majlis Perundingan bagi membincangkan isu seperti kadar bayaran dan kontrak, serta pengukuhan perlindungan sosial melalui caruman Perkeso.

Govin berkata Indrive menyokong prinsip perlindungan dan pengiktirafan yang lebih baik untuk pekerja gig namun menegaskan pelaksanaannya perlu dijalankan secara berfasa serta disertai dialog berterusan dengan pihak berkepentingan.
Sementara pengurus komunikasi Indrive untuk Asia Tenggara, Shaerine Kaur, turut menyuarakan kebimbangan.
Katanya, walaupun rang undang-undang itu bersifat progresif, perinciannya masih mempunyai kelompongan dan menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain industri.
“Kami hanya dirujuk dua atau tiga kali dalam sesi dialog terbuka, tetapi tidak pernah melalui perbincangan secara terus.
“Selepas ini, kami berharap akan ada lebih banyak sesi libat urus berterusan, termasuk perbincangan tertutup atau soal selidik, untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan fasa pelaksanaan amat penting dalam undang-undang ekonomi gig.
“Mengapa orang memilih menjadi pekerja gig? Kerana fleksibiliti dan kebebasan. Kita tidak boleh keterlaluan dalam mengawal selia industri ini. Kita akan kehilangan intipatinya kerana jika terlalu dikawal, di manakah garis pemisah antara pekerja sepenuh masa dan pekerja gig?” katanya.
Govin dan Shaerine bersetuju langkah seperti tribunal dan majlis tiga pihak adalah positif dari segi konsep, tetapi keberkesanannya bergantung kepada kecekapan.
“Rang undang-undang ini akhirnya akan diukur melalui hasil nyata yang diberikan kepada pekerja gig.”
“Jika kes seorang pemandu mengambil masa setahun untuk didengari, maka ada sesuatu yang tidak kena,” kata Govin.
Mereka menegaskan Malaysia telah mengambil pendekatan hibrid dalam undang-undang ini, dengan mengimbangi perlindungan dan mengekalkan status bebas pekerja gig.
Pihak berkuasa juga digesa memastikan perlindungan yang dijanjikan benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan keselamatan pendapatan dan kelestarian.
“Kami berharap ia dapat meningkatkan taraf hidup pekerja gig, bukan memberi kesan sebaliknya sehingga menjejaskan pendapatan dan kelestarian mereka.
“Kami percaya menerusi undang-undang baharu ini serta pelaksanaannya, industri ini boleh maju dengan signifikan,” kata Shaerine. – 13 September 2025
The post RUU Pekerja Gig disambut baik, namun kawal selia keterlaluan boleh sekat pemain baharu: Indrive appeared first on Scoop.

