RUU Pekerja Gig tidak boleh dilulus tergesa-gesa, perlu pelan reformasi bukan undang-undang separuh masak

LocalPolitics
23 Aug 2025 • 2:02 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 tidak boleh diluluskan secara tergesa-gesa sebaliknya apa yang diperlukan ialah pelan reformasi menyeluruh bagi menyelesaikan isu akar umbi industri, bukannya undang-undang separuh masak.

Enam persatuan mewakili penghantar p-hailing dan e-hailing dalam kenyataan media bersama berkata, RUU ini masih jauh daripada menjawab persoalan asas mengenai masa depan ekonomi digital negara dan boleh menimbulkan implikasi besar jika dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Persatuan-persatuan tersebut ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Menurut gabungan persatuan itu, mereka merupakan antara yang pertama menyokong RUU berkenaan namun perkara itu tidak sepatutnya membebankan pekerja gig sendiri.

"Agak kurang matang untuk menggelar dengan pelbagai panggilan semata-mata ada yang memberi maklum balas tidak seiring dengan kehendak anda.

"Kami lihat maklum balas adalah secara kritis dan analitikal, dan bukan membuta tuli dan terjerit-jerit. Itulah yang dapat membezakan kita. Begitu juga dengan pemegang taruh industri yang kecil yang bukan dari sektor e-hailing dan p-hailing.

"Adakah mereka juga pengkhianat? Itu menuntut keperluan untuk penelitian lebih baik. Bukannya tidak menyokong malah, kami antara yang pertama menyokong RUU ini namun usahlah ia akhirnya membebankan pekerja gig itu sendiri,'' katanya.

Persatuan tersebut berkata demikian bagi mengulas kenyataan Gabungan eHailing Malaysia (GEM) semalam yang menyifatkan penolakan terhadap RUU tersebut merupakan pengkhianatan terhadap pekerja gig yang setiap hari berkorban demi menggerakkan ekonomi negara sama ada di jalan raya, restoran, platform digital atau ruang bandar.

Menurut Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal, RUU itu bukan sahaja bertujuan mengangkat martabat pekerja gig, malah menjadi benteng undang-undang terhadap pelbagai bentuk ketidakadilan yang telah lama membelenggu mereka termasuk ketidakstabilan pendapatan, ketiadaan jaminan sosial serta eksploitasi sistemik.

Khamis lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata draf RUU Pekerja Gig sedia untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu depan. 

Ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Sim berkata hampir 40 sesi libat urus telah dilaksanakan dalam proses menyiapkan draf RUU itu.

Mengulas lanjut, gabungan persatuan itu berkata, naratif yang melabel pengkritik sebagai 'pengkhianat' adalah tidak matang dan tidak profesional sedangkan kritikan adalah tanggungjawab untuk memastikan undang-undang yang adil.

Gabungan itu juga berkata, ekosistem yang sebenar sepatutnya melibatkan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi, khususnya bagi sektor e-hailing dan p-hailing memandangkan industri berkenaan sudah tertakluk kepada kawal selia kementerian lain.

Jika mekanisme baharu diperkenalkan tanpa penyelarasan, katanya, ia akan menimbulkan pertindihan dan kekeliruan malah mekanisme kilanan yang dicadangkan juga mesti diperjelaskan dengan teliti bukan hanya kepada syarikat tetapi juga pemandu dan penghantar.

Dalam pada itu, gabungan tersebut turut menekankan mengenai kadar tambang e-hailing dan kadar upah p-hailing dan mempersoalkan adakah kuasa yang kini terletak di bawah Kementerian Pengangkutan akan diambil alih oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

“Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan caruman sukarela Perkeso dan insentif i-Saraan KWSP. RUU baharu ini boleh menggandakan lapisan birokrasi dan bercanggah dengan pendekatan fleksibel sedia ada, sekali gus menimbulkan kekeliruan dasar.

“Kami sentiasa menyokong usaha kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia, namun RUU perlu jelas akan bidang kuasa kementerian lain, memperjelaskan mekanisme kilanan dan menyelesaikan isu tambang serta upah sebelum menambah caruman baharu.

“Perbahasan pra-RUU perlu dilakukan secara terbuka dan inklusif, dengan melibatkan suara pekerja gig sebenar. Perlindungan sosial penting, tetapi ia mesti dilaksanakan progresif, sukarela dan selari dengan realiti sektor,’’ katanya. - 23 Ogos, 2025