RUU Perolehan Kerajaan 2025 bertujuan kukuhkan tadbir urus, hentikan ketirisan dan seragamkan proses perolehan

LocalPolitics
27 Aug 2025 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RUU Perolehan Kerajaan 2025 bertujuan kukuhkan tadbir urus, hentikan ketirisan dan seragamkan proses perolehan

image is not available

27/08/2025 - 10:20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 untuk kali pertama pada Isnin lalu bertujuan menyeragamkan serta menutup ruang kelemahan dalam proses perolehan kerajaan.

RUU itu digubal bagi memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan menghentikan kebocoran yang berlaku akibat amalan berbeza di pelbagai peringkat kerajaan ketika ini.

Antara peruntukan utama dalam RUU tersebut ialah menetapkan had kelulusan bagi perolehan serta pihak berkuasa yang meluluskan.

Ini akan terpakai untuk semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun, malah tindakan akan diambil terhadap kontraktor atau rakan niaga yang bermasalah daripada menyertai proses perolehan kerajaan.

Sebarang pemberian maklumat palsu, mengelirukan atau tidak lengkap secara material dalam proses perolehan adalah satu kesalahan jenayah di bawah RUU ini dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Bagi menutup kelompongan sedia ada, had perolehan akan dikira berdasarkan jumlah keseluruhan nilai perolehan dalam tempoh setahun.

Ini akan menghalang ketirisan yang berlaku apabila kontraktor memecahkan sesuatu projek kepada skop kerja yang lebih kecil untuk mengelak kelulusan pihak berkuasa di peringkat yang lebih tinggi.

RUU ini turut mewajibkan pendaftaran kontraktor yang menyertai perolehan, selain mengenakan penalti terhadap kepentingan yang tidak didedahkan dalam entiti lain.

Larangan pendaftaran juga boleh diperluas kepada individu berkaitan termasuk pengarah syarikat, pengurusan kanan, pemilik benefisial, rakan kongsi perniagaan serta pengarah atau pengurus koperasi.

Bagaimanapun, terdapat klausa yang membolehkan menteri persekutuan, menteri besar atau ketua menteri memberi pengecualian melalui warta rasmi.

Ini termasuk pengecualian terhadap badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau entiti kerajaan lain daripada mematuhi akta yang dicadangkan.

Menteri Kewangan juga diberi kuasa, selepas berunding dengan pendaftar, untuk mengecualikan individu atau kumpulan tertentu daripada syarat pendaftaran dalam keadaan tertentu.

RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dengan bacaan kedua dijadual berlangsung dalam sidang Parlimen hari ini.

Dari segi had nilai perolehan, cadangan RUU adalah selaras dengan amalan sedia ada. Kontrak melebihi RM50 juta bagi barangan dan perkhidmatan, atau RM100 juta bagi kerja, memerlukan kelulusan Menteri Kewangan di peringkat Persekutuan, manakala di peringkat negeri ia tertakluk kepada kelulusan menteri besar, ketua menteri atau pihak berkuasa yang ditetapkan kerajaan negeri.

Bagi kontrak bernilai antara RM500,000 hingga RM50 juta untuk barangan dan perkhidmatan, serta antara RM500,000 hingga RM100 juta untuk kerja, kelulusan perlu diperoleh daripada lembaga perolehan.

Kontrak bernilai RM50,000 hingga RM500,000 pula diluluskan jawatankuasa tertentu, manakala kontrak di bawah RM50,000 boleh diluluskan oleh pegawai bertanggungjawab.

Selain itu, RUU tersebut memperuntukkan penggantungan sehingga dua tahun terhadap syarikat atau individu yang melanggar undang-undang perolehan, disabit kesalahan rasuah di dalam atau luar negara, terbukti mengamalkan aktiviti antipersaingan, melanggar syarat pendaftaran atau memberi maklumat palsu.

Di peringkat negeri, penggantungan atau pembatalan boleh dibuat berdasarkan syor pihak berkuasa kewangan negeri sekiranya berlaku ketidakpatuhan.- DagangNews.com

featured standard