
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara berpotensi dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sejak Isnin lalu sekiranya mendapat kelulusan Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan sudah memperoleh kelulusan Kabinet secara prinsip bagi pembentangan RUU berkenaan.
Menurut beliau, sesi libat urus dengan negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak berkaitan RUU itu juga telah selesai dilaksanakan.
“Saya sudah dapat kelulusan prinsip daripada Kabinet untuk membentangkan RUU Perubahan Iklim,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MyNAP High-Level Forum di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Arthur berkata, proses libat urus itu penting bagi memastikan kedaulatan serta hak yang dimiliki negeri-negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, terus dilindungi dalam pelaksanaan RUU berkenaan.
Beliau berkata, sesi libat urus yang diperlukan itu kini telah selesai dan perkembangan terkini akan dibawa kepada Kabinet pada minggu ini.
“Dan sekiranya dapat lampu hijau ataupun kelulusan, kita akan maklumkan Setiausaha Dewan Rakyat supaya ia boleh dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung sekarang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, RUU Perubahan Iklim Negara dicadangkan sebagai kerangka perundangan nasional yang merangkumi aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, selain melengkapkan dasar, strategi dan pelan tindakan berkaitan perubahan iklim sedia ada.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan perubahan iklim merupakan antara langkah yang sedang diperkasakan kerajaan, selari dengan perkembangan dasar berkaitan kelestarian dan pasaran karbon.
Katanya, kerajaan pada April lalu telah melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan sebagai antara usaha memberikan hala tuju lebih jelas kepada pasaran dan industri dalam agenda pengurangan pelepasan karbon.
“Kita telah beri banyak signal kepada pasaran dan industri bahawa kita mahu membentangkan rang undang-undang perubahan iklim kita secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, selain dasar dan perancangan yang semakin jelas, industri juga perlu mengambil langkah menggunakan teknologi lebih moden bagi memenuhi keperluan peraturan alam sekitar yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, kerajaan sebelum ini turut memberi isyarat tegas kepada pihak industri apabila beliau memutuskan lesen baharu tidak akan diberikan kepada pencemar yang gagal mematuhi peraturan udara bersih di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.
“Undang-undang dan dasar itu sudah sedia ada. Teknologi itu pun juga ada,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan teknologi hijau bukan sekadar berkaitan pelaburan dan inovasi, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan sebenar untuk mengurangkan pencemaran dan menangani perubahan iklim. – KOSMO! ONLINE
The post RUU Perubahan Iklim sedia dibentangkan di Dewan Rakyat appeared first on Kosmo Online.



