
GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini diberitahu kerajaan negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka Pelan Kontigensi Air Mentah (RWCP 2030) dalam memastikan kelestarian bekalan air negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata RWCP 2030 melibatkan kerja menaik taraf tangki sedimen Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang telah siap pada tahun ini, pakej 12A LRA Sungai Dua yang sedang dalam pembinaan, pembinaan LRA Mengkuang (Fasa 1) yang dijangka siap pada 2025, pembinaan LRA Sungai Muda (Fasa 1) dan LRA Sungai Perai yang dijangka siap pada 2028.
“Sekiranya kerja-kerja membina dan menaik taraf infrastruktur bekalan air di bawah RWCP 2030 ini disiapkan sepenuhnya, ia akan menyumbang kepada penambahan kapasiti air mentah sebanyak 569 juta liter sehari (MLD),“ katanya menjawab soalan A.Kumaresan (PH-Batu Uban) pada Persidangan DUN Pulau Pinang di sini hari ini.
Zairil berkata kerajaan negeri melalui PBAPP juga akan membangunkan infrastuktur kejuruteraan bekalan air untuk memaksimumkan kapasiti pelepasan air sebanyak 1000 MLD dari Empangan Mengkuang bagi membolehkan operasi pelepasan air dari empangan itu dilaksanakan setiap hari untuk mengurangkan risiko air mentah dari Sungai Muda pada masa hadapan.
“Perubahan pengoperasian ini memerlukan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur Empangan Mengkuang melibatkan empat projek utama perlu disiapkan supaya kapasiti pelepasan air dapat ditingkatkan daripada 300 MLD kepada 1000 MLD,“ katanya.
Sementara itu, mengenai isu gangguan bekalan air yang berlaku pada 6 hingga 11 Julai lepas, Zairil berkata menurut laporan pascanilai daripada PBAPP, isu itu disebabkan oleh kelewatan dalam membekalkan air susulan daripada penutupan sementara LRA Sungai Dua dan paip yang telah kosong mengandungi udara yang mengurangkan aliran air.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan telah melantik Panel Penyemak Bebas untuk membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung di dalam Laporan Post Mortem Krisis Air di Negeri Pulau Pinang yang disediakan oleh PBAPP.-Bernama
