RESORTS World Genting (RWG) menjadi jenama hospitaliti pertama bekerjasama dengan Railway Assets Corporation (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi kempen penjenamaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi memperkukuh promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen RWG, RAC dan KTMB dalam memperkukuh akses pelancongan domestik serta menggalakkan lebih ramai pengunjung menerokai resort bersepadu terkemuka negara.
Tren ETS yang dihiasi penjenamaan khas berkenaan berfungsi sebagai platform promosi bergerak RWG yang akan merentasi Semenanjung Malaysia dan meningkatkan keterlihatan destinasi tersebut dalam kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa.
Berucap pada majlis pelancaran pada Selasa, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah penting dalam mempertingkatkan kemudahan dan akses perjalanan ke RWG.
**media[3545618]**
"Ketika Malaysia bersedia menerima lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, aspek kebolehcapaian dan ketersambungan yang lancar akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman pelancong.
"Melalui kerjasama dengan RAC dan KTMB, kami berbangga menjadi jenama hospitaliti pertama yang dipaparkan pada tren ETS, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap RWG serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa meneroka negara ini melalui perjalanan rel," katanya.
Majlis pelancaran di Stesen Keretapi Kuala Lumpur itu turut dihadiri Ketua Pegawai Komersial RAC, Tengku Nadia Azrina Tengku Amran dan Pengurus Besar, Perkhidmatan ETS & Antarabandar, Mohd Azhar Abu Bakar.
Menurut Lee, inisiatif tersebut menawarkan alternatif perjalanan yang lebih selesa, khususnya kepada pengunjung dari Johor dan Singapura, dengan pengalaman perjalanan yang lebih lancar serta mengurangkan kesesakan jalan raya dan tempoh perjalanan yang panjang.
Beliau berkata, seiring dengan kempen itu, RWG turut melancarkan cabaran media sosial di peringkat nasional bagi menggalakkan penglibatan pelancong dan peminat kereta api.
**media[3545620]**
"Peserta berpeluang memenangi ganjaran perjalanan ETS serta pengalaman eksklusif RWG, sekali gus merancakkan lagi pelancongan domestik dan penerokaan destinasi.
"Tren ETS yang dijenamakan secara khas ini dijangka memperluas capaian promosi RWG di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, bersempena dengan Piala Dunia FIFA 2026, RWG bakal menyemarakkan lagi suasana resort dengan pelbagai aktiviti dan tarikan bertemakan bola sepak.
Menurutnya, bermula 12 Jun ini, pengunjung berpeluang menyaksikan tayangan langsung perlawanan, menyertai pelbagai aktiviti menarik paling berprestij di dunia ke Genting.
"Inisiatif ini selaras dengan komitmen RWG untuk terus memperkaya pengalaman pengunjung sambil menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan hiburan negara," katanya.


