RXZ Forever Legend: JPJ tegas pantau lesen, topi keledar dan ekzos bising

LocalCars
19 Jan 2026 • 7:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KOTA BHARU, 19 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap peserta RXZ Forever Legend yang berlangsung pada 6 dan 7 Feb ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pemeriksaan itu akan menumpukan aspek pemakaian topi keledar, modifikasi motosikal serta tahap bunyi ekzos yang bising.

“Dari segi lesen, cukai jalan itu merupakan tanggungjawab individu sendiri. Tidak perlu kita ingatkan perlu ada lesen dan lain-lain, kerana kita maklum apabila ada kenderaan, lesen, cukai jalan itu semua perlu ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan kursus peningkatan jati diri, disiplin dan profesionalisme petugas syarikat Queen Express di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata jabatan itu mempunyai pasukan risik serta pasukan pemantau untuk memantau peserta termasuk di jalan-jalan kampung sepanjang dua hari program berlangsung.

JPJ juga katanya bersedia membantu pihak polis sekiranya diperlukan demi memastikan keadaan terkawal.

Sementara itu, Mohd Misuari berkata kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas ekspres di Kelantan sudah mencapai 100 peratus sejak November tahun lepas.

Media sebelum ini melaporkan, bermula 1 Julai 2025 semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved