SHAH ALAM - Penganjur RXZ Members akan membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 ditutup seketika untuk memberi laluan kepada peserta program berkenaan pada masa datang.
Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan berkata, perkara tersebut merupakan antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya ketika sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.
"Alhamdulillah, hari ini (Khamis) kita sudah selesai sesi libat urus bersama penguat kuasa JPJ. Antara rumusan yang boleh saya simpulkan. RXZ Members Insya-ALLAH akan sentiasa ada sehingga 10.0 dan sesi libat urus akan diteruskan selepas ini bagi penambahbaikan program akan datang.
"Antara cadangannya, mungkin kita akan ada Travel - Time - Arrival (TTA). Jadi, maksudnya kita akan ada satu jadual perjalanan peserta-peserta kita nanti...kita akan buatkan satu jadual perjalanan.
"Tadi, kita ada mohon LLM mungkin ada cadangan hendak tutup LPT untuk laluan peserta kita sekejap, tapi itu antara penambahbaikan akan datang," katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram rasmi penganjur berkenaan.
RXZ Members yang diadakan di Terengganu merupakan perhimpunan dan komuniti peminat motosikal Yamaha RX-Z terbesar di Malaysia.
Program RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama dua hari mulai 31 Julai lalu itu menghimpunkan peminat motosikal menerusi pelbagai aktiviti termasuk pameran motosikal, jualan produk, cabutan bertuah dan program santai komuniti permotoran.
Namun begitu, kehangatan penganjuran edisi kali ini turut dicemari dengan beberapa insiden kemalangan maut membabitkan peserta konvoi di sepanjang laluan lebuh raya utama.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin sebelum ini dilapor berkata, sebanyak lima kes kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di negeri berkenaan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 berbanding dua kes pada edisi tahun lepas.
Beliau berkata, lima kematian terbabit berlaku di Kemaman dan Dungun, melibatkan empat mangsa lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 48 tahun.





