

PETALING JAYA: Penganjur RXZ Members perlu melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran trafik diberi perhatian sewajarnya.
Perkara itu antara yang ditekankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sesi libat urus bersama penganjur RXZ Members di Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ Putrajaya, semalam.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sesi berkenaan menjadi platform strategik untuk membincangkan aspek keselamatan jalan raya selain mengenal pasti langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, terutama bagi acara permotoran berskala besar.
Menurutnya, pengurusan risiko perlu merangkumi kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan serta strategi penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada kesalahan yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Selain itu, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan secara berperingkat bermula dengan libat urus awal, pendidikan dan kesedaran sebelum tindakan penguatkuasaan tegas diambil jika diperlukan.
Katanya, penganjur juga perlu menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan menetapkan syarat peserta memiliki lesen memandu yang sah.
“Motosikal pula mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang masih berkuat kuasa.
“Peserta juga perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan, masing-masing membabitkan bahagian nombor plat depan, belakang, sisi kiri dan kanan,” jelasnya.
Muhammad Kifli berkata, kerjasama rapat antara penganjur, JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi teknikal berkaitan penting bagi memastikan acara berkenaan dapat dilaksanakan secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.
Menurutnya, JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dianjurkan secara teratur serta mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan.
“JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan pihak penganjur pada masa akan datang,” katanya.
Sesi berkenaan turut dihadiri PDRM, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – UTUSAN
The post RXZ Members: JPJ mahu pengurusan risiko lebih sistematik appeared first on Utusan Malaysia.




