

Nampaknya, kali ini Proton S70 yang dikatakan versi RS Facelift hadir dengan rupa yang lebih sporty, namun apa yang padu apabila ada yang mengatakan kabinnya diilhamkan daripada Proton X50 facelift?
Bagi saya, Proton mungkin mempunyai beberapa naik taraf menarik yang bakal diperkenalkan untuk model S70.
Ini kerana foto intipan (spyshot) terbaharu telah memberikan petunjuk baharu mengenai model facelift akan datang, termasuk gambaran reka bentuk semula konsol tengah dengan kemasan dalaman berwarna merah.
Bagaimanapun, terdapat satu kemusykilan. Walaupun sesetengah kelibat imej kelihatan meyakinkan, sesetengah yang lain pula menimbulkan persoalan mengenai kesahihan gambar yang tular di media sosial.

Menurut portal Funtasticko, satu foto intipan ruang dalaman yang dirakam di sebuah stesen minyak memperlihatkan sebahagian daripada konsol tengah S70 facelift akan datang.
Gambar berkenaan, yang dilaporkan diambil oleh pengguna Threads @suhairil, menunjukkan kemasan dalaman berwarna merah dan hitam serta kawalan pemutar (rotary control) dengan kemasan seakan-akan krom.

Funtasticko, memetik maklumat daripada sumbernya, mendakwa bahawa kawalan pemutar itu akan digunakan untuk pelarasan audio, manakala penukar gear (gear selector) mungkin dipindahkan ke kolum stereng.
Papan pemuka (dashboard) juga dikatakan mengambil konsep reka letak yang serupa dengan Proton X50 facelift, yang menampilkan kluster instrumen digital lebih kecil dan skrin paparan infotainmen tengah yang lebih besar. Perubahan pada kemasan panel pintu juga turut dilaporkan.
Jika maklumat ini tepat, perubahan tersebut boleh membuatkan kabin S70 terasa berbeza secara ketara berbanding model sedia ada, terutamanya dengan reka bentuk baharu pada konsol tengah.
Nama RS Yang MenarikSementara itu, portal Paultan mengetengahkan dua keping gambar yang tular di Threads, yang didakwa menunjukkan model S70 RS berada di atas lori pengangkut (transporter).
Kenderaan dalam foto tersebut kelihatan mempunyai cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam, dengan sebahagian daripada badan serta rim rodanya ditutupi.
Bagaimanapun, Paultan menyedari terdapat ketidakselarian antara kedua-dua gambar yang hampir serupa itu. Teks amaran (AWAS) pada lori pengangkut berkenaan adalah berbeza, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada gambar tersebut telah diubah suai secara digital.
Dalam kata lain, gambar-gambar berkenaan perlu disemak dengan lebih berhati-hati.
Walau bagaimanapun, nama RS itu sendiri mempunyai beberapa konteks penyokong. Funtasticko sebelum ini melaporkan bahawa Proton telah mendaftarkan tanda dagang bagi nama S70 RS di bawah beberapa kategori, termasuk kenderaan bermotor.
Ini menjadikan pengenalan lencana RS satu kemungkinan yang patut diperhatikan, namun pendaftaran tanda dagang tidak mengesahkan bahawa Proton pasti akan menggunakannya pada model pengeluaran.
Lebih Daripada Sekadar Lencana Baharu?
Model S70 casis turbo facelift telah beberapa kali kelihatan sedang diuji di jalan raya Malaysia, di mana penglihatan terdahulu memberi petunjuk kepada rupa bentuk bahagian depan dan belakang yang direka semula, rim roda baharu, serta sistem pencahayaan yang dinaik taraf.
Paultan turut mengulas bahawa kemas kini Geely Emgrand generasi keempat yang dilancarkan baru-baru ini mungkin memberi petunjuk kepada arah reka bentuk luaran S70 facelift.
Di bahagian enjin, pihak penerbitan menjangkakan enjin 1.5-liter empat silinder pengecas turbo sedia ada yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm—dipadankan dengan transmisi klac ganda dua basah 7-kelajuan—akan terus dikekalkan.
Ini akan memberi lebih tumpuan kepada aspek reka bentuk, teknologi kabin, dan kemas kini kelengkapan berbanding peningkatan prestasi secara mendadak.
Masa pengenalannya juga agak menarik. Proton telah pun memperluaskan rangkaian S70 dengan varian enjin aspirasi natural (NA) iaitu Lite dan Prime, sekaligus memberi ruang kepada model turbo untuk tampil dengan identiti yang lebih berbeza.
Funtasticko menjangkakan model turbo yang diperbaharui ini akan menggantikan varian Flagship dan Flagship X sedia ada, manakala varian Lite dan Prime kekal tanpa perubahan. Portal itu turut menjangkakan ketibaannya pada suku pertama tahun 2027.
Walau bagaimanapun, strategi varian mahupun jadual pelancaran ini masih belum disahkan secara rasmi oleh Proton.


