SHAH ALAM - Seorang penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas lori membawa muatan ayam beku yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori pasir di Kilometer 14. 8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Dua penumpang tersepit di bahagian depan dan salah seorang daripadanya maut di tempat kejadian.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan bomba dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hafisham berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Amir Haiqal Jajuli, 20, dan mangsa yang parah, Muhammad Nurnazmi Nor, 20.
"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala pemandu berusia 28 tahun cedera ringan.
"Mayat mangsa yang maut pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

