Sabah akan kaji 'barter trade', ambil kira aspek keselamatan dan ekonomi

LocalPolitics
5 May 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabah akan kaji 'barter trade', ambil kira aspek keselamatan dan ekonomi
Hajiji ketika melawat pos kawalan di Pulau Langkayan, Sandakan.

SANDAKAN - Kerajaan Sabah akan mengkaji cadangan menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara negeri ini dengan selatan Filipina.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengakui pihaknya menerima banyak cadangan mengenai perkara itu, namun kajian terperinci perlu dibuat sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, pelbagai aspek perlu diambil kira, khususnya berkaitan keselamatan dan manfaat aktiviti itu kepada peniaga serta ekonomi di negeri ini.

"Kita akan kaji. Banyak pihak memberikan cadangan mengenai perkara ini. Semua aspek akan kita ambil kira, khususnya keselamatan dan manfaatnya kepada ekonomi kita.

"Kita akan bincang perkara ini nanti dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan negara di perairan Sandakan di sini pada Selasa.

Lawatan kerja itu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) yang turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos.

Mengulas lawatannya, Hajiji berkata, program itu bertujuan meninjau keadaan di pulau terbabit yang menempatkan penguat kuasa Taman-Taman Sabah (TTS) dan pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera.

Katanya, lawatan itu juga membolehkan beliau bersama rombongan melihat sendiri keadaan pos keselamatan yang ditempatkan di pulau-pulau sekitar perairan Sandakan.

"Hasil tinjauan ini, saya lihat semua kesiapsiagaan pasukan keselamatan, termasuk fasiliti di pos kawalan berada dalam keadaan baik. Fasiliti juga telah ditambah baik.

"Saya telah membawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan banyak aset telah diperuntukkan walaupun masih banyak lagi yang diperlukan.

"Ini amat penting untuk pasukan keselamatan mengawasi perairan kita, terutama dengan aset canggih yang boleh memantau mereka yang mungkin mahu memasuki negara kita," katanya.

Hajiji dalam pada itu turut menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan aspek keselamatan perairan pantai timur Sabah dalam membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan itu, khususnya pelancongan.

"Sudah lama tiada insiden dilaporkan berlaku di perairan kita, ini sudah tentu menggalakkan pelancongan di pantai timur Sabah. Apabila keadaan aman dan keselamatan terjamin, ramai pelancong suka datang ke sini dan pelancongan berkembang.

"Pulau Sipadan antaranya menjadi tumpuan sebagai destinasi selaman terbaik dunia, jadi kita perlu menjaga keselamatan untuk memastikan tarikan pelancongan ini terus menjadi tumpuan pengunjung," katanya.

Sebelum itu, Hajiji bersama rombongan memulakan lawatan ke Pulau Bakungan Kecil sebelum ke Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.