Sabah alu-alukan China teroka pelaburan: Hajiji

LocalBusiness & Finance
20 Dec 2025 • 2:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah terus mengalu-alukan kehadiran pelabur asing, khususnya dari Republik Rakyat China, untuk meneroka peluang pelaburan strategik di negeri ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam beberapa sektor utama, termasuk industri minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan serta pertanian moden, selain industri berkaitan teknologi hijau.

Menurut beliau, kerjasama pelaburan dengan China dilihat memberi manfaat bersama, khususnya dari segi pemindahan teknologi, pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan rantaian nilai ekonomi tempatan.

“Sabah sentiasa mengalu-alukan pelabur asing yang berminat untuk melabur di negeri ini kerana terdapat banyak sektor ekonomi yang berpotensi untuk diteroka bersama dan berdaya maju dalam jangka panjang,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Zhu Xinglong, bersama pegawai-pegawainya di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menyatakan harapan agar Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dapat membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan dan pelabur China.

Sementara itu, Dr Zhu memaklumkan kepada Hajiji mengenai pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh pejabatnya bagi memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kebudayaan antara Sabah dan China.

Beliau juga menjemput Hajiji untuk menghadiri beberapa acara rasmi yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral pada tahun hadapan, selain menyampaikan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke beberapa wilayah di China bagi meneroka potensi kerjasama yang lebih luas.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.