
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada jurutera dan perunding (konsultan) tempatan untuk menjadi perunding kepada projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah memiliki ramai jurutera dan firma perunding yang berkelayakan serta berkebolehan untuk menjadi perunding sekiranya mereka diberikan peluang.
“Bagaimanapun, bagi kebanyakan projek kerajaan persekutuan, firma perundingnya dilantik terus dari Semenanjung Malaysia. Jika projek yang dilaksanakan bermasalah atau berlaku kelewatan, maka jabatan atau agensi kerajaan negeri contohnya Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak dapat melakukan sebarang tindakan,” katanya.
Bung berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Sabah di pejabat beliau, Khamis.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi ACEM Sabah Ir Razalie Sindong disertai Timbalan Pengerusi Ir Chin Shu Ying, Setiausaha Kehormat Ir Benny Sing dan turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Hanafiah Datuk Seri Hanafiah Kassim.
Bung, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata terdapat beberapa kes projek kerajaan persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini yang mana perundingnya dilantik terus dari Semenanjung Malaysia menghadapi masalah. “Contohnya pembinaan jambatan di di Jalan Bypass Libaran Sandakan yang sudah runtuh sebanyak tiga kali, menyebabkan jalan tersebut tidak dapat digunakan.
“Kita tidak menafikan keupayaan jurutera atau perunding dari luar, tapi jika kita melantik perunding tempatan, mereka lebih memahami struktur dan keadaan muka bumi di negeri ini.
“Dan jika berlaku sebarang masalah, kita sebagai kerajaan, khususnya JKR Sabah, dapat mengambil tindakan susulan sewajarnya,” jelas Bung.
Bung menambah, satu lagi kekangan bagi kerajaan negeri khususnya kementerian beliau untuk melantik perunding tempatan adalah JKR Sabah belum mendapat pengiktarafan sebagai jabatan yang bertauliah.
“Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana JKR Sabah telah wujud sekian lama dan memiliki ratusan jurutera bertauliah dan berpengalaman untuk mengendalikan sesuatu projek pembangunan.
“Perkara ini telah pun dibangkitkan kepada pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia, dan pihaknya telah menerima surat pada awal Julai tahun ini untuk memulakan perbincangan libat urus bagi menjadikan JKR Sabah sebagai jabatan yang bertauliah. “Kita berharap hasil perbincangan ini positif di mana dengan pentauliahan ini, kita bukan sahaja diberikan kuasa memantau projek projek persekutuan di negeri ini tetapi diberikan kuasa untuk melantik perunding, dan sudah tentu kita akan memberikan keutamaan kepada perunding tempatan,’ jelas Bung.
Dalam pada itu, semasa perjumpaan tersebut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengambil maklum segala isu yang dibangkit oleh ACEM Sabah yang kini mempunyai 47 jurutera perunding.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

