
Kota Kinabalu: Sabah berdepan risiko mengulangi kesilapan masa lalu yang menyebabkannya kehilangan hak atas sumber penting, kecuali ia segera menegaskan haknya atas aset karbon dan hutan sebelum Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Persekutuan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini.
Kumpulan pencinta alam dan pemimpin negeri memberi amaran Sabah berpotensi diketepikan sekali lagi dalam dasar negara – seperti yang pernah berlaku dalam isu minyak, minyak sawit dan sempadan maritim – apabila undang-undang persekutuan diluluskan tanpa melibatkan pandangan Sabah, sehingga negeri ini hilang kuasa membuat keputusan.
Walaupun Majlis Tindakan Iklim Sabah ditubuhkan pada 2024 bagi menerajui usaha perubahan iklim di peringkat negeri, setakat ini tiada dasar atau perlindungan undang-undang jelas yang menjamin Sabah kekal memegang kuasa ke atas sumber karbonnya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pengerusi Future Alam Borneo, Anton Ngui berkata, Sabah tidak boleh lagi terus berdiam diri, terutamanya dengan pasaran karbon dan kewangan hijau semakin mendapat perhatian global.
“Sejarah sedang berulang lagi. Jika kita terus menunggu, karbon akan jadi satu lagi sumber yang diambil tanpa kita sedari,” katanya.
Menurutnya, Sabah sebagai kawasan simpanan karbon terbesar di Malaysia bukan sahaja mempunyai kelebihan ekologi, malah berpeluang memimpin peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih tahan perubahan iklim.
“Sabah sepatutnya menjadi peneraju, bukan sekadar mematuhi. Ini peluang untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang teknologi hijau dan pembangunan lestari, bukan hanya bergantung kepada pertanian dan industri berasaskan hasil bumi,” katanya.
Anton juga menggesa kepimpinan negeri lebih lantang di peringkat persekutuan, terutama ketika Malaysia bersedia memperkukuhkan komitmen iklim antarabangsa.
“Karbon adalah aset masa depan. Kita perlu mempertahankannya sebagai hak milik kita, bukan sesuatu yang orang lain uruskan bagi pihak kita,” katanya.
Penasihat Perubahan Iklim Sabah, Datuk Darrel Webber, dalam sesi taklimat Carbon Sovereign Sabah (CSS) awal tahun ini, turut memberi peringatan bahawa jika Sabah kehilangan kawalan terhadap pengurusan karbon hutannya, tentu amat sukar untuk mendapatkan semula hak tersebut.
“Sabah telah berpuluh tahun melindungi hutannya, yang kini menjadi kawasan simpanan karbon utama. Kita tidak boleh lepaskan kawalan terhadapnya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku, Assaffal Panglima Alian, berkata undang-undang negeri yang lebih kukuh perlu digubal segera bagi melindungi kepentingan jangka panjang Sabah. Senator Datuk Nelson Wences Angang menegaskan Sabah mesti terlibat secara langsung dalam merangka dasar iklim persekutuan.
“Kalau tidak, kita berisiko menerima undang-undang yang tidak mencerminkan realiti sebenar di Sabah,” katanya.
Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia Sabah, Dr Robecca Jumin, berkata Sabah sudah mengambil langkah positif, termasuk meminda Enakmen Hutan 1968 untuk membenarkan aktiviti berkaitan karbon, namun usaha ini perlu diteruskan.
“Jika kita terus berlengah, pencapaian sedia ada mungkin terhakis di bawah kerangka nasional yang tidak mengutamakan pengurusan di peringkat negeri,” katanya.
Isu ini juga pernah dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, di Dewan Undangan Negeri tahun lalu yang menegaskan keperluan Sabah menggubal undang-undang karbon sendiri atau berisiko diketepikan sekali lagi oleh keputusan persekutuan.
Mesej daripada masyarakat sivil dan pemimpin ini jelas: Sabah mesti bertindak segera atau kehilangan peluang penting untuk mengawal masa depan alam sekitar dan ekonominya.


