Sabah Development Bank, Bank Pembangunan Malaysia bekerjasama biayai projek pembangunan bernilai sehingga RM12 bilion di Sabah

12 Oct 2023 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah Development Bank, Bank Pembangunan Malaysia bekerjasama biayai projek pembangunan bernilai sehingga RM12 bilion di Sabah

azan

12/10/2023 - 14:27

KUALA LUMPUR 12 Okt - Sabah Development Bank Berhad (SDB) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memeterai Perjanjian Rangka Kerjasama Strategik bagi membiayai secara bersama beberapa projek pembangunan yang telah dikenalpasti di sekitar Sabah bernilai sehingga RM12 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Patricia Ubing berkata, pembiayaan bersama antara SDB dan BPMB pada peringkat awal akan tertumpu pada bidang hidrokarbon dan tenaga peralihan bekalan air dan ekosistem infrastruktur sosial.

"Projek-projek ini kesemuanya terletak di Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerjasama tiga tahun itu akan menyaksikan SDB dan BPMB secara aktif mengenal pasti peluang untuk menyediakan pembiayaan secara bersama serta perkongsian
pengetahuan untuk pembangunan negeri.

SDB telah diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk memberi tumpuan kepada projek pembangunan yang menyumbang secara ketara kepada ekonomi dan sosial serta secara bertanggungjawab kepada alam sekitar di Sabah

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) terulung di negara ini, kerjasama strategik bersama SDB sejajar dengan matlamat kumpulan dalam menyampaikan impak bagi pembangunan negara.

“Kini, kami menilai semua aktiviti kami menggunakan rangka kerja penilaian dalaman kami yang diberi nama Measuring Impact on National Development (MIND) bagi memastikan semua projek memberikan kesan sosio-ekonomi dan alam sekitar.

"Kami gembira kerana diberi peluang bekerjasama dan meneroka peluang yang berpotensi dengan SDB untuk terus memajukan dan memacu ekonomi Sabah selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya negeri serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerjasama ini akan menjadi platform bagi meneroka kaedah membiayai projek pembangunan besar untuk kepentingan negeri Sabah.

"Ia akan bertindak sebagai pemangkin bagi meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah, dengan pelbagai kesan pengganda ekonomi yang positif kepada rakyat," katanya. - DagangNews.com