
Indeks jenayah terendah, Sabah paling selamat di Malaysia
Sabah Diiktiraf Negeri Paling Selamat Di Malaysia Tahun 2023. Berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Malay Mail, Sabah telah menduduki tangga teratas sebagai negeri paling selamat di Malaysia.
Dengan mencatatkan indeks jenayah terendah sebanyak 95, Sabah berjaya mengatasi negeri-negeri lain termasuk Kelantan yang berada di tempat kedua dengan indeks 96, dan Terengganu di tempat ketiga dengan skor 100.

Menurut laporan media tempatan, pencapaian ini amat memberangsangkan berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, terutamanya jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur yang mencatatkan indeks jenayah tertinggi iaitu 221.
Walaupun kadar jenayah keseluruhan di Malaysia dilaporkan meningkat sebanyak 3.2% pada tahun 2023, Sabah masih berjaya mengekalkan kadar jenayah yang rendah, sekali gus membuktikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan di negeri tersebut.
Pencapaian Sabah ini turut menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai negara ke-10 paling selamat di dunia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024, di samping pengiktirafan sebagai negara ketiga paling selamat di rantau Asia Pasifik selepas New Zealand dan Singapura.



